suria

Banjir tak halang usaha murni menderma darah... 73 beg dikumpul sehari kejayaan besar Hospital UCSI

Kempen menderma darah yang diadakan di Negeri Sembilan mendapat sambutan luar biasa.

TIDAK hanya memberi tumpuan kepada bantuan barangan keperluan dan makanan, masyarakat setempat di Negeri Sembilan turut mengambil peluang dengan menderma darah untuk mengisi Tabung Bekalan Darah Hospital Tuanku Jaafar.

Ia sebagai langkah untuk menampung keperluan darah terutamanya dalam kes kecemasan akibat banjir yang melanda terutamanya di negeri itu.

ARTIKEL BERKAITAN: 4 sahabat kumpul duit bantu mangsa banjir, tak sangka usaha kecil tiba-tiba jadi perhatian

Apa lebih membanggakan kempen itu mendapat sambutan luar biasa penderma dan jumlah darah yang diperolehi melebihi sasaran.

Ketua Pegawai Operasi Hospital UCSI, Abu Bakar Jalaluddin, berkata, hanya dalam tempoh sehari kempen itu diadakan pihaknya berjaya mengumpulkan 73 beg darah dan ia satu kejayaan besar.

21cf45fe-c3d0-419f-99df-da70d9da0eba

Walaupun dalam suasana banjir, namun penderma tetap hadir menderma darah.

Abu Bakar berkata, kempen usaha sama Hospital UCSI dengan Pusat Derma Darah Hospital Tuanku Jaafar itu julung kali diadakan malah saringan kesihatan secara percuma turut diberikan kepada pengunjung.

"Ahli kelab motorsikal berkuasa tinggi dari Kuala Lumpur turut turun padang bersama-sama menderma darah dan melakukan saringan kesihatan bagi mengenal pasti tahap glukosa, BMI dan juga tekanan darah tinggi," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perubatan dan Pakar Kanak-Kanak Hospital UCSI, Prof. Dr. Amaluddin Ahmad berkata, pihaknya bangga dengan keprihatinan orang ramai yang berbilang kaum menyertai kempen itu.

"Orang ramai tidak putus-putus datang untuk menderma darah sehingga tempat duduk untuk menunggu giliran terpaksa ditambah, meskipun banjir besar melanda negara dan turut menjejaskan penduduk di sekitar Negeri Sembilan, namun ramai yang masih sudi meluangkan masa," katanya.

Abu Bakar berkata, pihaknya telah menyatakan hasrat kepada Pusat Derma Darah Hospital Tuanku Jaafar untuk menganjurkan kempen derma darah di Hospital UCSI setiap tiga bulan di masa hadapan bagi membolehkan bantuan bekalan darah berterusan dapat diberikan kepada pihak Hospital Tuanku Jaafar dan pesakit yang memerlukan.

"Kami masih mengharapkan agar lebih ramai penderma tampil membantu pihak Hospital UCSI dan Hospital Tuanku Jaafar dengan menderma darah secara berkala," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain