suria

Tengok dan rakam tak dapat selamatkan mangsa, doktor ini kongsi cara bantu mangsa kebakaran

Mangsa membakar diri sendiri dipercayai kerana kecewa ditinggalkan kekasih.

PADA malam Rabu lalu, masyarakat dikejutkan dengan tindakan seorang berusia 28 tahun yang dikatakan bertindak membakar dirinya sendiri di atas Jambatan Jalan Kampung Syed Omar Binton, Perlis.

Lelaki berkenaan juga adalah pesakit psikiatri yang masih menerima rawatan sebagai pesakit luar di Jabatan Psikiatri Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

ARTIKEL BERKAITAN: Kecewa bekas teman wanita temui pengganti, lelaki 28 tahun nekad bakar diri sendiri

Mangsa didakwa sanggup membakar dirinya sendiri kerana kecewa ditinggalkan kekasih.

Ketika ini, mangsa dirawat di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma HTF kerana mengalami lecur pada badan sebanyak 96 peratus dan berada di dalam keadaan kritikal.

Dalam kejadian itu, orang awam yang berada di lokasi kejadian telah menenangkan dan menyelamatkan mangsa dengan menghubungi ambulans sebelum lelaki itu dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTF untuk mendapatkan rawatan.

1484432

Kenderaan mangsa turut terbakar.

Sementara itu, insiden itu juga turut membuka mata ramai tentang cara menyelamatkan mangsa kebakaran dan mungkin boleh menyelamatkan nyawa mereka.

Doktor perubatan, Dr Yazeed Hair Johari menjelaskan terdapat tiga perkara yang boleh dilakukan orang awam sekiranya berlaku seperti kejadian sama.

Berkongsi di laman Facebooknya, Dr Yazeed berkata, bantuan diberikan kepada mangsa terbakar adalah untuk memastikan mereka sentiasa cool down dan mencukupi air selain mengelakkan peratusan terbakar lebih parah.

"Pada tahap ini selalunya mangsa akan melalui fasa dipanggil burn shock (kebakaran mengejut) iaitu di mana mangsa akan kehilangan banyak air di seluruh badan dan juga kegagalan jantung.

"Lebih kurang permukaan yang terbakar, lebih tinggi peluang untuk survive dan selamat. Langkah seterusnya memang kena tunggu ambulans atau boleh terus hantar ke hospital secepat mungkin," katanya.

Berikut Dr Yazeed berkongsi tiga perkara yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan mangsa kebakaran.

images

1. Jauhkan mangsa dari api marak, udara dan air panas

Merujuk kepada kes di Perlis, Dr Yazeed memberitahu mangsa sendiri keluar daripada punca kebakaran dan apa boleh orang ramai lakukan adalah memadamkan kebakaran pada badannya.

Baju, selimut, kain pelekat, tudung atau apa sahaja boleh digunakan untuk memadakam api pada badan mangsa.

Sekiranya permukaan lantai sesuai, boleh gulingkan mangsa di atas lantai sehingga api terpadam.

2. Sejukkan kesan terbakar

Dapatkan sumber air mencukupi atau tahan seberapa banyak kenderaan yang lalu untuk minta air sekiranya ada.

Simbah air pada badan mangsa yang masih terbakar untuk padamkan api. Selepas berjaya, terus salirkan air ke badan mangsa sebab bahagian dalaman mangsa masih lagi kepanasan.

Firefighters extinguish a fire. Lifeguards with fire hoses in smoke and fire.

3. Tanggalkan aksesori mangsa

Jika melihat mangsa memakai aksesori seperti jam tangan, rantai, gelang tangan, tali pinggan dan sebagainya, tanggalkan semua benda tersebut.

Penting melakukan perkara itu kerana apabila badan seseorang terbakar, badan akan mula membengkak.

Dalam pada itu, Dr Yazeed turut berkongsi empat tahap kebakaran yang boleh berlaku kepada mangsa iaitu;

1. Tahap pertama: Terbakar hanya kulit luaran sahaja

2. Tahap kedua: Meliputi epidermis dan mula ada blister

3. Tahap ketiga: Terbakar sehingga ke lapisan dermis yang dalam (kulit mula rentung)

4. Tahap empat: Terbakar sehingga ke otot dan tulang (paling bahaya)

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Sementara itu, Dr Yazeed menasihatkan sekiranya berlaku kejadian seumpama itu, masyarakat tidak perlu panik, takut atau mengambil pendekatan melihat sebaliknya boleh melakukan sesuatu untuk menyelamatkan mangsa.

"Saya cadangkan, kita semua simpan satu alat pemadam kebakaran mudah alih dalam kereta dan ia berguna kerana tindakan awal boleh membantu untuk selamatkan nyawa," katanya.

Artikel Lain