KAEDAH pembelajaran di rumah atau popular disebut sebagai homeschooling semakin mendapat tempat dalam kalangan ibu bapa masa kini. Bagaikan menongkah arus, mereka berpendapat pendidikan tidak hanya boleh diperolehi menerusi pembelajaran secara formal di sekolah sebagaimana kebiasaannya. Seperti Zarah Ariffin Alkhadri, 39, dia dan suami, Noah Ibrahim Wells membesarkan empat anak mereka dengan cara tersendiri tanpa berpandukan kepada sistem pendidikan di negara ini. Wanita ini dan anak-anaknya melakukan aktiviti mewarna menggunakan bahan-bahan berasaskan tumbuhan yang didapati daripada taman. Bercerita lanjut kepada mStar, Zarah berkata berkata empat cahaya matanya yang masing-masing berusia antara tiga hingga 10 tahun tidak pernah dihantar untuk bersekolah. Malah Zarah yang menetap di Pantai Penarik, Terengganu berkata dia juga tidak menggunakan silibus pelajaran daripada sekolah harian biasa untuk mengajar anak-anak di rumah seperti yang diamalkan ramai ibu bapa lain. "Ada yang kata kalau homeschooling nanti anak akan tercicir dari segi akademik. Itu tidaklah begitu tepat kerana apa yang kami ajar di rumah adalah lebih daripada itu. "Homeschooling walaupun tidak pergi ke sekolah dan hanya di rumah, kami tetap fokus untuk mengajar anak-anak ilmu berkaitan kemahiran dan ikhtiar hidup, kami banyakkan aktiviti bersama alam semula jadi dan melihat kehijauan. Zarah mengajak anaknya mengenali bunga Raflesia iaitu bunga terbesar di dunia. Kredit foto: Digitaldome "Kami juga bawa anak-anak belajar di pusat sains, muzium, pergi menyertai aktiviti riadah di kawasan setempat. Kami memastikan anak diberikan exposure kepada dunia dan alam. "Fleksibel, pembelajaran boleh dilakukan di mana-mana dan setiap masa. Tidak terikat kepada jadual yang ketat. Anak tidak rasa stres dengan bebanan kerja rumah yang bertimbun, sesi belajar seakan-akan pergi bercuti," kata Zarah. Ditanya mengapa dia cuba menongkah arus, Zarah berpendapat sekolah kerajaan menyediakan suasana pembelajaran yang kurang ideal. Sesi pembelajaran homeschooling'dilaksanakan sambil menghayati keindahan alam semula jadi. "Sekolah kerajaan terlalu menekankan hal akademik. Kami mahu anak-anak ready for the real world yang memerlukan pelbagai skills dan critical thinking. "Kalau kita perhatikan ramai rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kegawatan ekonomi melanda ketika pandemik Covid-19. "Kerajaan membantu kelompok ini dengan memberikan kursus-kursus yang berkaitan kemahiran. Ini menunjukkan betapa pentingnya kemahiran dan skills dalam kehidupan. "Di samping itu kami juga mahu mengeratkan hubungan kekeluargaan antara kami dan anak-anak," ujar Zarah yang juga mengusahakan produk rawatan ekzema berasaskan bahan semula jadi. Sesi homeschooling turut dijalankan di kebun dan ladang ternakan yang diusahakan oleh Zarah dan suaminya. Selain itu, Zarah juga menekankan homeschooling tidak memaksa anak-anak untuk mengikuti aliran pengajian yang tidak diminati mereka. "Melalului homeschooling ia sekali gus mengurangkan stres kepada ibu bapa dan anak-anak kerana pembelajaran mengikut interest anak-anak. "Tidak perlu paksaan untuk belajar. Mereka mempunyai keinginan untuk belajar sendiri. Apabila environment pembelajaran yang menyeronokkan, anak-anak sendiri yang akan tertarik untuk belajar," kata Zarah. Zarah dan anak-anaknya menyertai komuniti homeschooling untuk mempelajari hidupan laut sambil beriadah di pantai. Zarah juga menambah bahawa melalui homeschooling, anak-anak akan dapat berinteraksi dengan individu dari pelbagai latar belakang. "Konsep homeschooling kami ini ialah anak-anak dapat bersosial dengan semua lapisan masyarakat dan bukan hanya dengan rakan sebaya. "Mereka dapat bergaul dengan dunia luar dan tidak duduk dalam satu kepompong sahaja. "Kami mempunyai waktu yang fleksibel untuk membuat aktiviti dan dapat meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak," kata Zarah. Zarah dan komuniti 'homeschooling' melawat kilang mancis di Kelantan. Bercakap mengenai perancangan masa hadapan anak-anaknya, Zarah bercadang untuk mendaftarkan anak-anaknya ke sekolah vokasional. "Sama ada anak-anak saya akan bersekolah atau tidak bergantung kepada kehendak anak-anak. "Tapi kalau ikut perancangan saya, mungkin akan masukkan mereka ke sekolah vokasional atau kursus Giatmara atau apa-apa kursus yang mengetengahkan skills dan kemahiran hidup. "Saya sangat berharap agar dapat diwujudkan sekolah vokasional untuk peringkat sekolah rendah juga," ujar Zarah. " /> Sesi homeschooling tidak terhad kepada bilik darjah konvensional dan boleh dilaksanakan sambil melawat muzium. Walaupun homeschooling pada asasnya bertujuan untuk membawa kebaikan kepada anak-anak tetapi Zarah dan komunitinya tidak terlepas daripada mendapat kecaman. "Saya tetap dikecam oleh orang sekeliling dan ahli keluarga saya sendiri yang tidak memahami konsep homeschooling. Saya ignore dan teruskan sahaja. "Apa yang kami ketengahkan ini adalah benda baik dan saya hanya boleh katakan, time will proof the benefit of our choice," tegas Zarah. Konsep homeschooling yang diketengahkan Zarah banyak melibatkan aktiviti di luar untuk menjadikannya santai dan menyeronokkan. Menitipkan pesanan kepada ibu bapa di luar sana yang mahu mengamalkan homeschooling, Zarah mengatakan jangan mengambil keputusan terburu-buru kerana mahu mengikut trend semata-mata. "Homeschooling is not a trend. Setiap family mempunyai sebab dan cara yang berlainan. Pastikan niat untuk homeschooling itu betul. Do your own research. "Usaha berterusan untuk menambah baik kemahiran dan ilmu keibubapaan yang berkaitan topik homeschooling. Jangan paksa anak-anak untuk ikut kemahuan kita. "Biarkan mereka mengejar impian mereka dan kita sebagai ibu bapa cukuplah dengan memberi sokongan. Anak-anak bukan trofi untuk dijulang siapa yang lebih hebat," kata Zarah menoktahkan bicara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube