suria

Semak 5 simptom ini, anda mungkin ada nomofobia jika langsung tak boleh berenggang dengan telefon pintar

Ramai yang menghidap nomofobia tanpa disedari.

TELEFON pintar kini bukan lagi sekadar alat komunikasi tetapi keperluan dalam dunia serba moden ini.

Malah, ia boleh menjadi peranti yang membantu menyelamatkan nyawa terutama ketika berlakunya bencana atau kecemasan di sekeliling kita.

Namun, tanpa kita sedari, penggunaan secara berlebihan boleh menyebabkan berlakunya ketagihan telefon bimbit.

Menurut Dr Ahmad Samhan di Twitter, ketagihan ini kadangkala dikenali sebagai nomofobia (takut hidup tanpa telefon bimbit) iaitu singkatan bagi no-mobile phone-phobia.

Bagi mengelakkan kesan negatif di masa hadapan, Dr Samhan menyenaraikan lima petanda yang boleh dijadikan panduan untuk dinilai semula oleh kita.

Manusia bergantung pada telefon menyebabkan ramai tidak mempunyai interaksi langsung dengan orang lain.

Tanda-tanda ketagihan telefon seperti:

1. Bermasalah menyelesaikan tugas di tempat kerja atau di rumah

Sekiranya anda berasa tugasan di rumah tidak dapat diselesaikan pada waktunya atau bekerja terlebih waktu ditetapkan, anda berkemungkinan menghidapi nomophobia.

Ia mungkin disebabkan anda banyak menghabiskan masa dengan berbual di aplikasi WhatsApp, atau bermain permainan video di telefon.

2. Mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan

Anda terasa bahawa kehidupan sosial semakin teruk?

Jika melepak bersama kawan, anda sering tertinggal topik perbualan kerana kerap menggunakan telefon bimbit?

Ada rakan atau ahli keluarga menyatakan kebimbangan mengenai penggunaan telefon anda?

Kesemua ini membawa maksud bahawa anda telah mengasingkan diri daripada dunia sebenar.

Seorang nomofobia bimbang ketinggalan sebarang berita atau mesej sehingga membuatkan mereka tidak boleh tidur.

3. Menyembunyikan penggunaan telefon bimbit

Jika anda pernah menyelinap keluar ke tempat lain semata-mata untuk menggunakan telefon, atau menyembunyikan penggunaan telefon pintar daripada majikan dan keluarga, ini tanda anda mengalami ketagihan.

Seseorang yang 'obses' menggunakan telefon juga akan berasa jengkel atau naik angin sekiranya diganggu semasa menggunakan telefon.

4. Berasa takut jika ketinggalan

Tidak senang jika ketinggalan sebarang berita atau maklumat penting atau anda sering bangun malam hanya untuk memeriksa telefon juga merupakan tanda-tanda ketagihan telefon pintar.

5. Rasa takut, cemas atau panik jika tertinggal telefon

Anda akan berasa cemas atau panik jika telefon tidak berada bersama anda setiap masa.

Anda juga akan berasa hal yang sama sekiranya bateri telefon semakin berkurangan atau tidak dapat dihidupkan.

Jika mempunyai semua petanda di atas, ketahuilah anda mempunyai ketagihan dengan telefon!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain