suria

Gatal sampai tergaru-garu ketika bersenam mungkin sebab anda terkena Runner's Itch... Ini 4 puncanya!

Runner's Itch boleh terjadi kepada mereka yang sudah lama tidak bersenam.

RAMAI orang menghabiskan masa di luar dengan menjalankan aktiviti seperti bersenam dan bersukan.

Bagi mereka yang meminati aktiviti luar, tiada yang lebih baik selain berlari sambil menghirup udara segar serta menikmati cahaya matahari.

Namun, bagi individu yang kerap bersenam pastinya mereka pernah terasa gatal pada bahagian kaki, perut, lengan atau leher sewaktu melakukan aktiviti seperti larian.

Masalah ini dikenali sebagai Runner’s Itch, yang mana sedikit sebanyak menimbulkan rasa tidak selesa dan secara tidak langsung mengganggu aktiviti senaman anda.

Malahan rasa gatal tersebut kadangkala menjadi keterlaluan sehingga ada yang terpaksa menghentikan sesi senaman dengan serta merta.

Menurut portal healthnews, terdapat empat faktor yang dikaitkan dengan Runner’s Itch yang mana penghidap mengalami rasa gatal-gatal sewaktu bersenam.

1. Kulit sensitif

Rasa gatal tersebut biasanya disebabkan kesan alergik terhadap bahan pencuci yang digunakan untuk mencuci fabrik pakaian sukan itu sendiri.

Kesan alergik biasanya tidak terlalu ketara tetapi ia boleh menjadi parah sekiranya bercampur dengan peluh menyebabkan rasa gatal.

Selain itu, kulit yang kering akan mudah menyebabkan anda berasa gatal semasa berpeluh.

Dinasihatkan untuk menyapu losyen atau pelembab sebelum sesi senaman serta memakai pakaian berasaskan fabrik yang menyerap peluh dengan baik.

2. Rehat yang terlalu lama

Berehat daripada bersukan atau bersenam dalam tempoh masa lama boleh menyebabkan Runner's Itch terjadi.

Ia disebabkan oleh kapilari dan arteri mengembang dan menghasilkan deria rasa yang diterjemahkan oleh otak sebagai rasa gatal.

Namun masalah ini akan beransur pulih seiring dengan peningkatan tahap stamina anda.

Sesetengah individu akan menggunakan anesthetic numbing spray untuk mengurangkan rasa gatal.

3. Exercise-Induced Urticaria (Urtikaria akibat senaman)

Anda boleh mengenal pasti urtikaria apabila rasa gatal tersebut disusuli dengan ruam atau bengkak pada permukaan kulit.

Tindak balas alergik ini adalah disebabkan keadaan yang terlalu panas atau sejuk dan juga berpeluh.

Selain simptom-simptom di atas, kebiasaannya keadaan tersebut tidak membawa masalah yang serius seperti anafilaksis (alahan serius).

Salah satu cara untuk mengatasinya ialah dengan memakai pakaian yang bersesuaian dengan cuaca atau suhu bilik.

4. Perembesan histamin

Histamin ialah sebatian dalam badan yang dilepaskan sebagai sebahagian daripada tindak balas kepada alergen (alahan) atau kecederaan, sebagai cara badan melindungi dirinya.

Bagaimanapun, badan boleh bertindak balas secara berlebihan, membawa kepada keperluan kita untuk rawatan antihistamin.

Di samping itu, didapati bahawa badan kita melepaskan histamin dalam otot rangka semasa senaman untuk membantu melawan keletihan.

Ini adalah tindak balas senaman, bukan tindak balas alahan.

Tindak balas histamin senaman ini dijelaskan dalam kajian Journal of Exercise and Sport Sciences Reviews pada 2017, di mana mereka mengkaji peranan histamin dalam senaman.

Dengan pelepasan histamin, saluran darah mengembang (terbuka), dinding kapilari menjadi telap (boleh bocor), dan terdapat keradangan, yang semuanya menyumbang kepada rasa gatal-gatal.

Walaupun masalah gatal mengganggu sesi senaman anda, jangan biarkan ia menjadi penghalang kepada usaha untuk menjalani gaya hidup yang lebih sihat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain