TIDAK dinafikan inovasi dan teknologi masa kini dapat membantu meringankan tugas manusia. Namun para ibu bapa perlu berhati-hati sekiranya ingin mengunakan peralatan yang boleh menyenangkan tugas menjaga bayi seperti bantal penyangga botol susu. Sekali pandang, ia memudahkan urusan seorang ibu kerana mereka dapat melakukan tugas atau kerja lain semasa bayi sedang menyusu. Namun jika dibiarkan berterusan, ia boleh mengundang bahaya dan mengakibatkan bayi 'lemas'. Paling membimbangkan apabila kejadian berlaku semasa bayi tinggal berseorangan. Pastinya bantuan kecemasan tidak dapat dilakukan. Seperti perkongsian seorang kaunselor laktasi (penyusuan susu ibu) bertauliah Nurun Nadia Masrom, penggunaan bantal seperti itu berisiko membunuh bayi. Penyangga merupakan inovasi yang dikatakan dapat membantu golongan ibu. -Gambar hiasan Menerusi tangkap layar yang dikongsikan, seorang wanita mendedahkan kesan penggunaan alat inovasi tersebut. Bukan sahaja mengakibatkan kematian pada bayi, malah pasangan suami isteri berkenaan juga bercerai. "Bayi rakan sekerja saya meninggal dunia akibat menggunakan alat inovasi ni. "Inilah punca kawan pejabat saya, anaknya meninggal dunia. Pada masa tu raya, sibuk beraya sampai tak perasan anak dah 'tak ada'... hasil bedah siasat, tersedak susu. Disebabkan itu dia dan suami berpisah," katanya. Lebih menyedihkan apabila, bayi tersebut merupakan zuriat yang dinanti-natikan pasangan berkenaan. Bagi Nurun Nadia, sebagai ibu seseorang itu perlulah bersedia berdepan dengan cabaran dan kesukaran dalam membesarkan anak. "Kalau rasa nak senang jadi mak, better jangan jadi mak," ciapnya ringkas. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube