"BERAT badan 'naik' tandanya bahagia?" Itulah antara ayat yang sering dituturkan untuk memberi semangat kepada individu berbadan gempal yang dipandang rendah dan menjadi mangsa ejekan masyarakat. Bagaimanapun, tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menunjukkan angka membimbangkan apabila 50.1 peratus orang dewasa di Malaysia mengalami masalah berat badan yang tidak terkawal atau obesiti. Lebih mengejutkan, tinjauan NHMS 2019 juga mendedahkan peratusan berat badan berlebihan dan obesiti adalah sangat tinggi dalam kalangan wanita, dengan statistik sebanyak 54.7 peratus. Realiti ini mungkin pahit untuk ditelan oleh individu berbadan gempal, namun mereka perlu sedar obesiti boleh memberi kesan besar terhadap kesihatan ginekologi disebabkan oleh pelbagai faktor. Berikut merupakan beberapa sebab mengapa obesiti meningkatkan risiko pelbagai masalah dan komplikasi ginekologi: 1. Ketidakseimbangan hormon: Tisu adipos (lemak badan) menghasilkan estrogen, dan tisu lemak yang berlebihan dalam badan boleh menyebabkan tahap estrogen yang lebih tinggi. Ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon di dalam badan. Tahap estrogen yang tinggi boleh menjejaskan kitaran haid yang normal, membawa kepada masalah haid yang tidak teratur, pendarahan yang banyak, atau ketiadaan haid (amenorea). 2. Rintangan insulin: Obesiti biasanya dikaitkan dengan rintangan insulin, keadaan di mana sel-sel badan menjadi kurang responsif terhadap insulin, yang membawa kepada paras gula dalam darah yang tinggi. Rintangan insulin boleh menyumbang kepada ketidakseimbangan hormon, terutamanya dalam sindrom ovari polisistik (PCOS) dan boleh meningkatkan risiko menghidap diabetes semasa hamil. 3. Keradangan: Obesiti dicirikan sebagai keadaan keradangan gred rendah kronik dalam badan. Keradangan kronik ini boleh menjejaskan sistem pembiakan dan menyumbang kepada pelbagai masalah ginekologi. 4. Peningkatan tahap estrogen: Tisu adipos yang berlebihan membawa kepada tahap pengeluaran estrogen yang lebih tinggi dalam badan. Pendedahan yang berpanjangan kepada paras estrogen yang tinggi boleh meningkatkan risiko kanser endometrium (rahim). Kawal pemakanan ketika usia muda Menurut Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Nor Elyana Noordin, masalah berat badan berlebihan atau obesiti perlu dikawal sejak usia muda kerana ia boleh memberi kesan buruk terhadap kaum Hawa dalam jangka masa panjang. "Obesiti dan masalah sakit puan sangat berkait rapat, ini kerana obesiti boleh memberi kesan terhadap masalah sakit puan sejak kecil sampai lanjut usia. Kanak-kanak yang berbadan besar sejak kecil, dia mempunyai risiko datang haid dengan lebih cepat. Jika waktu dulu umur 11 atau 12 tahun baru datang haid, kanak-kanak sekarang datang haid ketika berumur lapan atau sembilan tahun. "Apabila mereka berbadan besar, hormon androgen akan ditukarkan kepada hormon estrogen oleh lemak-lemak berlebihan. Jadi bila kanak-kanak baligh awal, kajian menunjukkan mereka berisiko mendapat masalah PCOS yang membawa kepada risiko kanser rahim. "Ketidakseimbangan hormon dan PCOS menyebabkan haid menjadi tidak teratur, bermaksud setahun mungkin dua atau tiga kali datang haid, tetapi bila ia datang kuantitinya banyak. Ini adalah masalah sakit puan yang sering kita rawat di hospital. Semakin hari semakin ramai pesakit yang mempunyai masalah haid akibat obesiti. Ia pahit untuk ditelan tapi begitulah realitinya," ujar Dr Elyana. Dr Elyana berkata masalah berat badan berlebihan atau obesiti perlu dikawal sejak usia muda. Dr Elyana turut mengimbas kisah sedih pesakitnya yang disahkan menghidap kanser rahim pada usia muda. "Saya ada seorang pesakit berumur lewat 20-an dengan berat badan lebih 120kg, BMI dia lebih 40, ini bermaksud nisbah berat dan tinggi tak seimbang. Dia mengalami masalah haid tak teratur, datang haid tiga bulan sekali. Paling lama enam bulan. Dia abaikan simptom ini selama tiga tahun. Akhirnya dia didiagnos dengan kanser rahim tahap tiga. Ini bermaksud, pesakit ini perlu menjalani pembedahan buang rahim untuk mengeluarkan kanser itu dan mendapatkan rawatan susulan seperti kemoterapi dan radioterapi” Kisah di atas memang menyedihkan. Tetapi ada juga pesakit yang mampu ‘merawat’ dirinya sendiri. “Ada seorang lagi pesakit dan saya kagum dengan beliau. Usianya muda awal 20-an, beratnya lebih 90kg, BMI lebih 30. Dia mempunyai masalah haid tak normal dan berlebihan. Waktu pertama kali saya berjumpa pesakit ni, saya nasihatkan dia untuk turunkan berat. Selepas tiga bulan dia jumpa saya sekali lagi, berat badan turun 15 kilogram (kg)! Haid pun kembali normal. Jadi dia pulih tanpa ubat. Bila tanya macam mana pesakit ni berjaya turun berat; setiap hari dia “skipping” 500 kali.” Tinjauan NHMS 2019 mendedahkan peratusan berat badan berlebihan dan obesiti adalah sangat tinggi dalam kalangan wanita, dengan statistik sebanyak 54.7 peratus. Selain itu, wanita yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti turut berdepan kesukaran untuk hamil dan jika hamil, mereka mempunyai risiko untuk mendapat komplikasi terhadap kesihatan dan kehamilan mereka, dedah Dr Elyana. "Ramai pesakit datang ke hospital, mengadu sukar untuk hamil selepas berkahwin dan haid tidak teratur. Kebanyakkan mereka, didapati naik berat badan apabila sudah berkahwin. Ini menyebabkan hormon tidak stabil dan proses ovulasi tidak berlaku ataupun erti kata lain “telur tak menetas”. "Sekiranya berjaya hamil, ada masalah lain pula. Antaranya komplikasi keguguran, risiko bayi tidak normal, kencing manis, darah tinggi, darah beku dan lain-lain lagi. Pesakit yang berat badannya normal juga boleh mengalami semua komplikasi ini, tetapi obesiti meningkatkan lagi risikonya.” "Kemudian ketika proses bersalin, pesakit obes dikaitkan dengan risiko bersalin secara pembedahan kerana kegagalan untuk bersalin normal. Apabila dibedah, pesakit berdepan dengan risiko pembedahan dan risiko semasa pantang seperti jangkitan pada luka caesarean dan masalah darah beku." jelasnya lagi. Senaman, ubah gaya hidup mampu bawa perubahan besar Dalam pada itu, Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Pakar Perubatan Kesuburan SMCV, Dr Farah Leong Rahman turut senada dengan Dr Elyana berhubung kesan berat badan berlebihan atau obesiti terhadap wanita. Selain membawa kepada masalah sakit puan sama ada kanser atau bukan kanser, wanita yang berbadan besar juga berisiko untuk mempunyai masalah kesuburan, sekali gus menyukarkan usaha untuk hamil. "Apabila berat badan berlebihan, hormon dalam badan wanita menjadi tidak seimbang, menyebabkan haid tidak teratur. Contohnya, ada pesakit saya yang datang haid tiga bulan sekali. Jadi mereka tak tahu bila waktu subur. "Apabila berjaya hamil, kita risau akan risiko sewaktu kehamilan seperti risiko keguguran, risiko mendapat kencing manis, darah tinggi dan yang paling ditakuti ialah risiko bersalin awal atau bersalin pramatang. Sebab itu kita perlu kawal (berat) sebelum mengandung, supaya mereka tidak mengalami masalah kesihatan. Obesiti sememangnya memberi impak kepada wanita mengandung," ujarnya. Mengikut statistik, jumlah kelahiran hidup ialah 439,744 kelahiran pada tahun 2021 dengan penurunan sebanyak 6.7 peratus (31,760 kelahiran) berbanding 471,504 kelahiran pada tahun 2020. Ini merupakan penurunan tertinggi dalam satu dekad. Dr Farah mahu orang ramai sedar tentang kaitan obesiti dan kesannya terhadap kesuburan. Sepanjang lima dekad yang lalu pula, peratusan kesuburan yang diukur dengan Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) merosot dengan ketara daripada 4.9 kanak-kanak bagi setiap wanita umur mengandung pada tahun 1970 kepada 1.7 pada tahun 2021. Statistik yang menunjukkan trend penurunan ini mungkin boleh dikaitkan dengan peningkatan kadar obesiti dalam kalangan wanita sejak beberapa tahun lalu. Menurut Dr Farah lagi, ianya tidak mustahil untuk wanita yang mempunyai masalah berat badan untuk hamil secara normal, namun kaitan antara masalah berat badan dengan masalah kesuburan sememangnya tidak boleh dinafikan. "Obesiti boleh menyebabkan kitaran haid terganggu tapi tak bermaksud semua wanita obes pasti mengalami masalah kesuburan. Ada juga wanita berbadan biasa, BMI normal, tapi mempunyai masalah kesuburan juga. Cuma obesiti dikaitkan lebih tinggi dengan masalah kesuburan kerana haid tak menentu," jelasnya lagi. Pesan pakar itu lagi, kaum Hawa perlu mengubah gaya hidup dan mengamalkan senaman secara berkala kerana ia ternyata dapat membawa perubahan besar terhadap tahap kesuburan mereka. Wanita berbadan besar berdepan pelbagai risiko ketika proses kehamilan dan melahirkan. "Sudah tentu ada pesakit datang bertanya mengenai ubat atau jalan singkat untuk hamil. Tapi untuk kesuburan, pertamanya saya sarankan tukar gaya hidup. Ia tak mudah, tapi kalau boleh kurangkan berat badan lima hingga 10 peratus, ia akan menunjukkan perubahan besar. "Penukaran gaya hidup boleh memperbaiki hormon dan boleh mengawalnya kepada yang asal. Jadi pesakit tak perlu bergantung kepada terapi hormon atau pil-pil diet. Hanya perlu turunkan berat badan sebanyak lima hingga 10 peratus, anda akan nampak perubahan besar. "Pesakit juga boleh dirujuk kepada pakar diet di mana mereka akan diajar cara kira kalori, kurangkan karbohidrat, kurangkan gula serta cara bersenam. Bersenam lima kali seminggu amat digalakkan, sama ada berbasikal, berlari, berenang, berjoging, yoga, ataupun pilates asalkan aktiviti ini dilakukan secara rutin. Disarankan anda untuk mula dengan perlahan dulu dan kemudian cuba mencapai target bersenam selama 150 minit seminggu," ujarnya. Tambah Dr Farah, orang ramai perlu sedar tentang kaitan obesiti dan kesannya terhadap kesuburan, malah dia turut menitipkan pesan supaya pesakit tidak berlengah untuk mendapatkan rawatan sekiranya mempunyai masalah tersebut. "Kalau pesakit tak berupaya kurangkan berat dan sedaya upaya berusaha untuk dapatkan zuriat, sila hadir berjumpa kami supaya kami dapat mencari alternatif untuk membantu anda. Ada orang takut nak datang sebab stigma, tapi kami di sini nak bantu anda dari awal. "Bila bercakap tentang kesuburan, masa atau umur sangat penting. Kalau masih muda, peluang untuk hamil lebih tinggi. Kalau datang ketika lewat usia, peluang untuk hamil lebih rendah. Jadi kita tak mahu anda terlepas kerana masa tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. "Jika mahu dibandingkan dengan dulu, kesedaran mengenai hari ini semakin baik. Tapi masih ada orang takut nak jumpa doktor dan enggan dapatkan rawatan kesuburan. Jadi saya rasa kesedaran tentang isu ini sangat penting untuk diwar-warkan lagi," ujar Dr Farah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube