suria

Remaja perempuan makin terbuka hembus asap vape, konon gaya hidup ‘cool’... Pakar bimbang ancaman kesihatan generasi muda

Pakar menggesa agar RUU Kawalan Produk Merokok 2023 diluluskan segera.

PENGGUNAAN rokok elektronik atau vape secara berleluasa di Malaysia perlu dipandang serius memandangkan golongan muda turut terjebak dengan ketagihan itu.

Apa yang lebih membimbangkan, penggunaan vape oleh generasi muda digembar-gemburkan sebagai sumber pendapatan baharu dan satu alternatif untuk berhenti merokok.

Sehubungan itu Kumpulan Penyelidik Ketagihan Nikotin (NARCC) di Universiti Malaya (UM) tampil menyuarakan kebimbangan mereka terhadap budaya tidak sihat ini, khususnya dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

Ketua koordinator NARCC dan pakar perunding kanan psikiatri UM, Profesor Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin menegaskan tidak ada bukti kukuh menyokong vape sebagai terapi berhenti merokok sementara banyak lagi cara yang bertauliah masih belum dimaksimumkan.

Nur Amani Natasha Ahmad Tajuddin SQUARE

Profesor Madya Dr Nur Amani Ahmad Tajuddin.

"Hasil daripada kajian kohort di Pusat Perubatan Universiti Malaya mengenai “Incidence of E-Cigarette or Vaping Product Use Associated Lung Injury (Evali) dalam kalangan pesakit jangkitan respiratori (Sari)” pada tahun 2021, yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Wong Chee Kuan, Dr Farizah Mohd Hairi, Dr Noraryana Hassan, Dr Mohd Afiq Mohd Nor dan lain-lain, menunjukkan insiden EVALI sebanyak 840 per 100,000 kes Sari.

"Inilah alasan kenapa kami mendesak agar pesakit Sari disaring untuk penggunaan e-rokok atau vape. Penemuan ini adalah panduan penting bagi pembuat dasar dan pengurusan klinikal Evali. Manfaat ekonomi yang dijanjikan oleh industri vape jauh lebih kecil daripada kos yang timbul akibat penyakit serius seperti Evali.

"Ini adalah bahaya besar bagi negara kita. Vape juga berpotensi merosakkan sistem pernafasan, terutamanya pada golongan remaja dan kanak-kanak yang tidak mampu mengawalnya," ujarnya.

Setakat ini, negara-negara seperti England, Australia, dan New Zealand yang melonggarkan peraturan vape menyaksikan peningkatan penggunaan oleh remaja dan kanak-kanak.

Malah, pakar kesihatan semakin bimbang dengan fenomena ini, terutamanya pakar pediatrik, pakar perubatan keluarga, pakar kesihatan awam, dan pakar perubatan psikiatri.

file73nesem7vtw9u5huodi

Pelbagai rekaan vape yang menjadi kegilaan golongan muda. -Gambar hiasan

Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa remaja yang terlibat dengan vape mudah terjebak dengan rokok konvensional dan penyalahgunaan dadah, malah mereka turut mengalami masalah kesihatan mental serius seperti kemurungan.

Dalam pada itu, Timbalan koordinator NARCC dan pakar perunding perubatan keluarga di UM, Profesor Madya Dr Nur Amani Ahmad Tajuddin berkata, kajian kesihatan remaja pada tahun 2022 menunjukkan perubahan yang menggerunkan dalam pola penggunaan rokok.

"Penggunaan vape meningkat sementara penggunaan rokok konvensional menurun. Lebih membimbangkan, remaja perempuan cenderung kepada penggunaan vape, menunjukkan penerimaan yang tinggi disebabkan oleh sifat ingin tahu, gaya hidup, dan daya tarikan perasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Kaki vape alami cirit-birit, nafas pendek? Ini tandanya penyakit Evali mula menyerang, kenali 9 simptom sebelum terlambat

"Data daripada "National Heath Morbidity Survey (NHMS) 2022" menunjukkan prevalens penggunaan vape adalah 14.9 peratus dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun. Dan penemuan kami di UM menunjukkan bahawa prevalens ini meningkat kepada 15.1 peratus sejak program Generational Endgame dimulakan pada tahun 2022 hingga 2023 di beberapa buah sekolah.

"Ini adalah isyarat bahawa tindakan perlu diambil sekarang. Keputusan untuk mengeluarkan cecair nikotin daripada Akta Racun pada 1 April 2023 adalah satu tindakan yang berbahaya. Ia membuka pintu seluas-luasnya untuk penjualan vape kepada remaja dan kanak-kanak. Akibatnya penjualan nikotin tidak terkawal di Malaysia," ujarnya.

Hasil tinjauan Pusat Racun Negara menunjukkan produk vape dijual bersama-sama dengan gula-gula dan alat tulis di kedai-kedai runcit.

Lebih merisaukan, remaja dan kanak-kanak terpesona dengan promosi vape oleh artis dan selebriti di media sosial serta jualan atas talian yang dipersembahkan sebagai gaya hidup 'cool'.

Pakar menggesa agar RUU Kawalan Produk Merokok 2023 diluluskan segera.

Pelajar sekolah turut terjebak dalam kancah penggunaan rokok elektronik. -Gambar hiasan

Sementara itu, Pakar psikiatri ketagihan Dr Anne Yee berkata, perokok vape pasif sering diketepikan apabila isu merokok vape dibincangkan.

"Perokok vape pasif adalah mereka yang tidak merokok tetapi secara tidak sengaja dipaksa menyedut asap rokok yang dihembuskan oleh perokok vape berdekatan. Justeru, ini mengakibatkan perokok pasif terdedah kepada wap aerosol vape yang mengandungi nikotin, zarah ultra halus, dan bahan kimia beracun yang berpotensi memudaratkan kesihatan pernafasan, terutamanya dalam ruang tertutup.

"Golongan rentan seperti kanak-kanak, wanita hamil, dan individu yang menghidapi penyakit kronik adalah lebih mudah terdedah kepada gejala ini. Kami mendesak dengan penuh kesungguhan agar kerajaan segera meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

"Ini adalah langkah yang sangat penting untuk melindungi generasi muda daripada ancaman rokok dan vape. Masa depan serta kesihatan mereka dalam jangka pendek dan panjang berada dalam bahaya besar. Kami tidak boleh terus berlengah lagi," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain