TIDAK kira di mana seseorang anak itu berada, walaupun dia pernah diletakkan di pusat koreksional, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan akses kepada pendidikan berkualiti tersedia untuk semua di seluruh negara. Begitulah komitmen yang ditunjukkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika merasmikan majlis penutupan Program Hijrah Kasih 2023 di Pusat Koreksional Puncak Alam, di Selangor pada 11 Oktober lalu. Beliau berkata, Sekolah Integriti yang terletak di dalam pusat koreksional seluruh negara, merupakan satu langkah ke arah memastikan tiada kanak-kanak tercicir pelajaran. Integriti, katanya, adalah elemen penting dalam penyediaan pendidikan kemanusiaan yang memupuk belas kasihan dan rasa hormat untuk setiap insan. "Satu komponen besar daripada pendidikan kemanusiaan adalah kebolehcapaian. Ini bermakna di mana sahaja anak-anak kita, mereka akan tetap mendapat pendidikan. "Walaupun mereka berada di pusat koreksional, mereka mempunyai akses kepada pengetahuan dalam Sekolah Integriti," katanya, sambil menambah rancangan sedang dijalankan untuk memperkenalkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di semua Sekolah Integriti Jabatan Penjara Malaysia di seluruh negara. Menurut beliau, cadangan itu akan dibentangkan kepada mesyuarat Kabinet untuk diluluskan dalam masa terdekat. "Belia di pusat koreksional juga perlu diberi pendedahan dan akses kepada TVET, jika kita mahu melahirkan pekerja mahir dengan kepakaran untuk memenuhi keperluan negara,” katanya. Bagi memastikan pelajar Sekolah Integriti tidak berasa dipinggirkan, sesi kaunseling dijalankan di semua pusat koreksional. Sebagai bekas peguam dengan lebih 20 tahun pengalaman, Fadhlina berkata dia telah melawat penjara dan melihat sendiri keperluan untuk reformasi - misi yang dekat dengan hatinya. Pendidikan bukan sahaja membentuk akhlak, malah mampu mengubah masa depan yang lebih baik. "Reformasi penjara dibangkitkan di Parlimen, baru-baru ini. Ia menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan terhadap isu berkaitan dengan reformasi penjara dan pusat tahanan yang memerlukan penambahbaikan ketara, dan ini termasuk pendidikan,” katanya. Tambah beliau, KPM sedang berusaha untuk menambah lebih banyak guru untuk menangani isu kekurangan tenaga pengajar di Sekolah Integriti. "Kekurangan itu tidak kritikal. Temuduga sedang dijalankan untuk pengambilan guru-guru. Usaha kita mendidik banduan membuahkan hasil," ujarnya lagi. Tambah Fadhlina, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dalam kalangan banduan adalah ‘luar biasa’ dengan calon mencapai 100 peratus lulus dalam semua 11 Sekolah Integriti di seluruh negara. Ia menunjukkan peningkatan 0.44 peratus berbanding keputusan SPM 2021. Seramai 86 pelajar Sekolah Integriti menduduki SPM 2022. Fadhlina turut menyuarakan harapan bahawa pelajar Sekolah Integriti akan terus mencapai prestasi yang baik dalam peperiksaan mereka. "Ia menunjukkan pelajar ini mempunyai potensi besar dan saya amat berbangga dengan mereka,” ujarnya. Bercakap mengenai Program Hijrah Kasih 2023, beliau berkata ia adalah untuk pelajar Islam tetapi terdapat program pembinaan sahsiah dan penyemaian nilai yang seumpamanya sedang dijalankan untuk belia dari agama lain. Menurutnya, KPM menekankan budi manusia melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti. Semua programnya adalah bertujuan dalam pembangunan sahsiah dan pengukuhan jati diri pelajar, termasuk Program Hijrah Kasih 2023. Masa depan yang lebih baik: Seorang penghuni berkongsi tentang impian dan masa depannya. Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan & Koreksional) Datuk Abdul Aziz Abdul Razak, dalam ucapannya berkata guru hadir ke penjara dan fasiliti koreksional sejak beberapa dekad. "Pada tahun 1972, guru agama di bawah Jabatan Pendidikan ketika itu ditempatkan di Jabatan Penjara. "Selepas melihat terdapat keperluan untuk mendapatkan guru, Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney ditubuhkan pada 2008," ujarnya. Tambahnya, beliau juga kagum dengan kumpulan pendidik yang sangat komited kepada falsafah pendidikan negara. "Saya yakin dengan usaha dan kerjasama yang berterusan daripada pelbagai pihak, kanak-kanak yang pernah membuat silap boleh berubah. "Maafkan belia ini supaya mereka boleh membetulkan kesilapan lalu," katanya sambil menambah beliau berharap apabila tiba masanya mereka kembali semula dalam masyarakat, mereka tidak akan disisihkan. "Beri mereka peluang untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka mampu berubah dan boleh bekerjasama bagi menyumbang kepada pembangunan negara," katanya. Kepada banduan, Fadhlina berkata,"Tidak mengapa untuk melakukan kesilapan tetapi setiap kali anda melakukan kesilapan, anda perlu bangkit semula. Ibu bapa, mereka memerlukan bantuan anda." Selain Sekolah Integriti, beliau berkata, KPM mempunyai pelbagai jenis sekolah yang dibina khusus untuk memastikan akses kepada pendidikan untuk semua. Ini termasuk Sekolah Dalam Hospital (SDH) dan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK). Selain itu, terdapat juga sekolah yang menggunakan model khas untuk memenuhi keperluan masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan seperti Sekolah Model Khas Komprehensif 9 Tahun (K9) untuk Kanak-kanak Orang Asli. Apabila saya masuk ke sini, ia adalah traumatik tetapi saya fokus kepada pelajaran dan saya mencuba untuk membuang perasaan negatif itu. Saya akan menduduki SPM pada Januari 2024. Dulu ramai dalam kalangan kami di sini namun sesetengah mereka telah dibebaskan, jadi sekarang hanya kami bertiga akan menduduki peperiksaan. “Sejarah dan Bahasa Melayu adalah mata pelajaran kegemaran saya. Guru-guru membantu kami membuat persediaan. Kadang-kadang kami mendekati mereka untuk mendapatkan ilmu tambahan. Saya sebenarnya mendapati belajar di sini kurang memberi tekanan berbanding 'di luar sana'. Guru boleh memberi bimbingan secara ‘one-on-one’ dan ini memudahkan untuk kami belajar. “Sebelum ini, saya sangat ‘bergaul bebas’, sering keluar sehingga lewat malam. Saya nakal dan terlibat dengan aktiviti mat rempit. Dulu saya tidak mahu belajar. Berada di sini membantu saya kerana sekarang, saya lebih fokus kepada pelajaran. Apabila saya dibebaskan nanti, saya sangat berharap untuk mendapat pekerjaan atau melanjutkan pelajaran.” - Ahmad, 18. “Berada di Sekolah Integriti membawa kebaikan kerana saya boleh menumpukan perhatian dengan lebih baik. Hanya ada sebilangan kecil daripada kami di dalam kelas, seperti pergi tuisyen di rumah. Kami diberi lebih perhatian. Guru-guru juga memberi kami kelas tambahan selepas tamat sesi persekolahan. “Apabila hujung minggu, kami menantikan hari Isnin supaya kami boleh pergi kelas. Kami tak sama dengan pelajar di sekolah biasa yang selalu menunggu untuk bercuti pada hujung minggu. Saya gagal dalam Sejarah dan tidak mendapat sijil SPM. Saya akan menduduki enam mata pelajaran dan saya menyasarkan untuk mendapat 5A tahun depan. Semoga saya boleh lulus Sejarah kali ini. Impian saya adalah untuk melanjutkan pelajaran.” - Abhi, 22. Semua mendapat akses pendidikan walau di mana mereka berada. Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney >Banduan muda diberikan peluang untuk belajar di Sekolah Integriti. > Pesalah juvana ditempatkan di Sekolah Henry Gurney. > Sekolah-sekolah ini bertujuan untuk memberikan tempat kepada pesalah muda dan peluang kedua untuk membina semula masa depan mereka. > Matlamat: Meningkatkan disiplin dan menguatkan akhlak pesalah muda; membantu membasmi buta huruf melalui aktiviti membaca, mengira dan menulis; memberi peluang kepada pesalah muda untuk memulakan dan meneruskan persekolahan; dan untuk memupuk minat dalam pembelajaran dan untuk meyakinkan pelajar yang pendidikan boleh menjamin masa depan yang lebih baik. > Ia di bawah tanggungjawab Jabatan Penjara, seperti yang dinyatakan dalam Peraturan 151, Peraturan Penjara 2000, untuk menyediakan belia ini dengan pendidikan dan kemahiran yang sesuai sebelum mereka kembali kepada masyarakat. Sekolah Dalam Hospital (SDH) > Belajar dengan cara yang menyeronokkan dan fleksibel. > Ia secara tidak langsung adalah salah satu daripada terapi yang boleh membantu memudahkan proses penyembuhan untuk pelajar. > Matlamat: Memberi perkhidmatan pendidikan kepada pelajar dengan masalah kesihatan; menyediakan pendidikan berterusan yang formal dan tersusun dalam persekitaran yang kondusif; menyediakan sokongan dan rangsangan kepada pelajar untuk meneruskan pembelajaran; dan menggalakkan pertumbuhan psikososial normal dan membantu dalam proses penyembuhan. > Terdapat 17 SDH dalam 11 negeri yang beroperasi sejak 2011. Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) > Sebuah sekolah khas ditubuhkan untuk memenuhi aspirasi sistem pendidikan negara dan pelajar sebaris dengan Unesco “Konsep Pendidikan Untuk Semua". > Mula beroperasi di Chow Kit, Kuala Lumpur, pada 9 Ogos 2013. > Matlamat: Menyediakan akses kepada pendidikan formal dalam persekitaran yang kondusif untuk kanak-kanak jalanan dan terpinggir di bandar; menghalang pelajar daripada terlibat dengan dadah/alkohol, aktiviti seksual dan gangsterisme; memberi mereka kasih sayang dan akses kepada pendidikan formal; menamatkan legasi hidup sukar mereka; menyediakan jalan dan peluang untuk menambah baik kualiti pendidikan dan melahirkan modal insan mengikut keupayaan individu pelajar. > Menerima pelajar dari prasekolah hingga peringkat menengah atas. > Pelajar terdiri daripada: Kanak-kanak yang menghadapi masalah sosial; kanak-kanak tanpa izin; keciciran; dan anak yatim. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube