SIJIL kelahiran atau surat beranak merupakan dokumen penting yang menyimpan maklumat kelahiran seseorang individu. Bagi mereka yang berusia 30-an ke atas, mereka pastinya masih memiliki sijil kelahiran jenis lama. Selepas sekian lama disimpan di dalam almari, besar kemungkinan surat beranak itu juga sudah terkoyak, kotor atau bertukar kekuningan. Sijil kelahiran baharu boleh diperolehi dengan bayaran RM5 sahaja. Tahukah anda, proses untuk menukar surat beranak ini boleh dibuat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan prosesnya tidaklah serumit yang disangka. Menurut seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Mawarni Sani, dia hanya perlu membayar RM5 untuk mendapatkan sijil kelahiran yang baharu. "Hari ni pergi JPN. Nak print surat beranak lama kepada yang baharu. Ini saja caranya. Pertama, bawa Kad Pengenalan (MyKad) original dan salinannya. "Kedua, bawa surat beranak original. Selepas itu, bayar RM5 dan pembayaran melalui kad sahaja. Tunggu sekejap, dah siap. Boleh juga print untuk pasangan. "Syaratnya, bawa surat nikah original dan salinan, satu salinan Kad Pengenalan wakil yang nak print dan bayar RM5. Surat beranak lama boleh simpan dan frame sebagai kenangan," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Wanita nekad ‘panjat’ JPN buang ‘Muhammad’ di pangkal nama anak, menyesal biar keluarga campur tangan lepas bersalin Menurut Mawarni, orang ramai tidak perlu menangguh sekiranya mereka berhasrat untuk mendapatkan sijil kelahiran baharu memandangkan prosesnya yang cukup ringkas dan mudah. "Selesai hal surat beranak. Benda boleh buat, kenapa nak tangguh. Seronok pula tengok surat beranak baharu. Cantik, rasa macam kembali jadi kanak-kanak," ujarnya lagi. Perkongsian Mawarni di Facebook turut menerima lebih 500 komen dan dikongsi oleh lebih 4,000 pelayar yang lain. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube