SETIAP individu mempunyai cara tersendiri untuk mengelakkan pembaziran. Bagi Rusyainie Ramli yang juga seorang doktor, dia selalu menyimpan baki kuah walaupun lauk yang dihidang kepada keluarganya habis dimakan. Sebagaimana dikongsikan menerusi hantaran di Facebook, lebihan kuah diletak di dalam bekas bertutup, dilabel untuk digunakan semula kelak dan disimpan di dalam peti ais untuk disejuk beku. "Kalau kari sardin tu, saya buka tin sardin yang baru. Ambilkan isi ikan dan masukkan ke dalam kuah. Boleh la di'kawan' (makan) dengan lempeng. "Asam pedas tu, ikan apa pun boleh. Baki kuah yang ada tu dah cukup untuk saya dan anak lelaki sebab selalunya memang kami berdua saja di rumah. "Paling tak pun, kuah tu saya masukkan terung atau bendi, dan buat telur dadar. Dah siap makan malam untuk anak bujang handsome saya," katanya. Menurut Dr Rusyainie, amalan memanaskan semula lebihan makanan yang disejuk beku sudah biasa dilakukannya. Lempeng yang dimakan dengan lebihan kuah kari. -Gambar Facebook Malah, katanya, bukan sahaja kuah sardin dan asam pedas, terdapat pelbagai jenis kuah lain yang turut disimpan untuk dimakan mereka sekeluarga. Ramai sedia maklum bahawa pendapatan bulanan seorang doktor agak tinggi, tetapi Dr Rusyainie tetap memilih untuk berjimat dan tidak membazir makanan. "Tak baik membazir maka selagi boleh kami akan habiskan sebelum makanan tu tamat tempoh. Yang berulang sama pun tak apalah. "Penuh peti sejuk beku saya dengan segala macam kuah, sambal dan pes semua yang saya buatkan sendiri atau yang berbaki sebelum ni. "Yang penting, selagi boleh berjimat, kita buatlah begitu. Tak selamanya kita senang kan... Kalau datang waktu sesak, ketika itulah kita akan tersedar yang banyak kita dah bazirkan," ujarnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube