suria

Rimas sakit tak baik-baik, wanita kongsi ramuan mujarab legakan batuk... Boleh buat sendiri di rumah

Bawang merah dan putih merupakan antara bahan digunakan Yatie.

CUACA yang tidak menentu sejak kebelakangan ini menyebabkan ramai orang mengalami batuk dan sakit tekak berpanjangan.

Malah bagi sesetengah orang pengambilan ubat di klinik dan farmasi kadangkala tidak 'serasi', akibatnya penyakit tidak sembuh.

Begitulah yang dialami ahli keluarga Yatie Eimra apabila anaknya mengalami batuk berlarutan sehingga lebih tiga bulan.

Namun, Yatie berjaya menemui satu jalan penyelesaian alternatif yang sudah diamalkan sejak tiga tahun lalu bagi merawat masalah batuk dialami keluarganya.

Resipi untuk melegakan batuk itu dikongsikan untuk orang ramai menerusi satu perkongsian di Facebook.

Semua bahan direndam dalam satu bekas.

Bahan-bahan:

1. 1/2 biji bawang holland atau merah

2. 150 gram madu

3. 3 hingga 5 ulas bawang putih

4. 2 sudu minyak zaitun

5. 1 biji perahan lemon

6. 11 hingga 15 bunga cengkih

Semua bahan perlu direndam selama satu hingga dua jam pada suhu bilik.

Cara penyediaan:

1. Bekukan bawang selama 10 minit untuk tingkatkan khasiat bawang.

2. Ketuk bawang putih dan biarkan selama 10 minit untuk allicin (sebatian antikanser, antibakteria dan antiviral) terbentuk.

3. Tumbuk kasar cengkih dan masukkan ke dalam perahan jus lemon dan biarkan sebati.

4. Bawang merah potong kasar atau dileraikan.

5. Campurkan bawang putih diketuk bersama minyak zaitun dan dipanaskan dengan api kecil selama dua hingga tiga minit.

6. Masukkan semua bahan dalam satu bekas bertutup dan rendam selama dua jam dalam suhu bilik.

7. Simpan dalam peti sejuk semalaman untuk kesan lebih efektif sebelum digunakan.

Ramuan direndam dalam satu bekas yang dilabel.

Menurut Yatie, kaedah digunakan ini dapat membantu masalah batuk berkahak, jangkitan influenza dan Covid-19 dan simptom batuk tanpa henti.

Katanya, bahan homemade ini boleh bertahan selama dua hingga tiga bulan bergantung pada cara penyimpanan.

Tambahnya, tapis keluar bawang selepas satu atau dua minggu setelah direndam untuk mengelakkan khasiat ubat batuk makin berkurang.

Dalam pada itu, Yatie menekankan bahawa resipi ini tidak bersesuaian untuk diberi kepada bayi berusia setahun dan kebawah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain