KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) melaksanakan pelbagai langkah proaktif sebagai usaha meningkatkan minat murid dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM). Ini sejajar dengan sasaran penyertaan murid yang mengambil pakej STEM iaitu 60 peratus. Menurut KPM, pendidikan STEM di sekolah adalah amat penting dan mempunyai banyak faedah serta manfaat. Antara manfaatnya adalah menggalakkan murid-murid untuk berfikir secara kritis, menganalisis masalah dan membangunkan penyelesaian secara inovatif. Usaha ini juga melengkapkan murid dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengemudi dan cemerlang dalam dunia yang dipacu teknologi, selain memupuk kreativiti dengan memberi inspirasi kepada murid untuk meneroka, mencuba dan berfikir di luar kotak. Penyertaan dalam aktiviti STEM di sekolah menitikberatkan kerjasama dan kerja berpasukan serta mencerminkan persekitaran kerja dunia sebenar. Selain itu, ia juga berperanan dalam merapatkan jurang antara teori dan latihan dengan menghubungkan pembelajaran di bilik darjah kepada aplikasi dunia sebenar. “Ia juga menyediakan murid-murid dengan pelbagai peluang kerjaya dalam bidang yang berkembang pesat seperti teknologi, kejuruteraan, penjagaan kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui,” tambah KPM. KPM melaksanakan pelbagai langkah proaktif dalam sebuah usaha untuk meningkatkan minat dan peratusan penyertaan pelajar dalam bidang STEM. “Ini adalah selaras dengan apa yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025. Sebahagian daripada penekanan PPPM adalah meningkatkan minat murid melalui pendekatan pembelajaran baharu dan pemantapan kurikulum; meningkatkan kemahiran dan kebolehan guru bidang STEM; dan meningkatkan kesedaran tentang STEM dalam kalangan murid, ibu bapa dan orang awam. KPM sentiasa berusaha untuk membangunkan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran untuk menyertai aliran STEM. “Bagi meningkatkan kesedaran STEM dalam kalangan murid, ibu bapa, masyarakat dan orang awam, program dan kempen dalam bentuk didik hibur dan menyeronokkan telah diadakan secara berterusan,” katanya lagi. Program tersebut diadakan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan bagi memberi peluang yang sama rata kepada semua murid daripada pelbagai latar belakang. Ini termasuk: 1. Karnival STEM; 2. Karnival Kemahiran Digital; 3. Pertandingan Inovasi, Sains, Teknologi dan Kejuruteraan; 4. Pertandingan Robotik Kebangsaan; 5. Program Young STEMist Expo; 6. International Mathematical Olympiad; 7. International Physics Olympiad; 8. International Chemistry Olympiad; 9. International Science and Engineering Fair; dan 10. Program Semarak STEM dan Robotik Menurut KPM, murid sentiasa diberi dorongan dan peluang untuk menyerlah keupayaan bakat STEM melalui kokurikulum. Pada tahun ini, 13 program dan aktiviti pertandingan STEM peringkat kebangsaan dan antarabangsa di bawah peruntukan KPM telah dilaksanakan, melibatkan kira-kira 16,000 murid dari seluruh negara. Ini tidak termasuk program yang dianjurkan oleh universiti, kementerian lain seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) serta agensi luar. “Terkini, murid di bawah KPM berjaya merangkul dua pingat emas dan dua pingat gangsa dalam pertandingan World Olympiad (WRO) Friendship Invitational Tournament di Odense, Denmark yang berlangsung pada 21 hingga 24 September 2023,” katanya. Tambah KPM, kementerian itu sentiasa berusaha untuk membangunkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran untuk menyertai aliran STEM. “Bagi menghasilkan bakat STEM yang adaptif yang akan memenuhi keperluan masa hadapan, strategi KPM termasuk meningkatkan kualiti program akademik dan latihan, memastikan outcome pembelajaran yang lebih saksama, memanfaatkan teknologi baharu muncul dan memperkukuh tadbir urus. “Ini selaras dengan tuntutan dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi (DSTIN) 2021-2030,” katanya. Pelbagai langkah proaktif dijalankan untuk meningkatkan minat dan peratusan penyertaan pelajar dalam bidang STEM. Salah satu langkah yang dilaksanakan untuk meningkatkan minat dan seterusnya menggalakkan murid untuk memilih aliran STEM di peringkat pengajian lebih tinggi ialah pemantapan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam dan luar bilik darjah. “Murid digalakkan melaksanakan pembelajaran berasaskan inkuiri, pembelajaran berasaskan projek dan pembelajaran berasaskan masalah dalam konteks dunia sebenar. “KPM juga melaksanakan semula Ujian Amali Sains bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara peperiksaan pusat sejak 2021, selaras dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). “Pelaksanaan ujian amali ini bertujuan untuk menarik minat murid terhadap mata pelajaran sains melalui kaedah PdP secara praktikal atau eksperimen,” katanya. KPM juga menghasilkan bahan sokongan PdP, seperti Panduan Pelaksanaan STEM dalam PdP, Bahan Sumber Inkuiri Sains, Bahan Sumber Inkuiri Matematik, Modul Pendekatan Inkuiri melalui Penguasaan Kemahiran Proses Sains Tahap II Sekolah Rendah, Bahan Sumber Sains Sekolah Menengah, Biologi, Fizik dan Kimia, Panduan PdP Berfikrah Matematik, Panduan PdP Pemodelan Matematik dan Panduan PdP Matematik Tambahan. Bahan sokongan yang disediakan boleh dicapai di Portal Bahagian Pembangunan Kurikulum, Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) dan Repositori SumberKU. Bagi infrastruktur untuk menyokong pendidikan STEM, sejumlah RM100 juta disediakan menerusi Belanjawan 2024 untuk pemerkasaan STEM, khususnya untuk tujuan menyelenggara dan menaik taraf komputer sekolah makmal serta perolehan peralatan baharu. Murid mempamerkan robot hasil ciptaan masing-masing pada majlis penutupan Pertandingan Robotik Kebangsaan 2023 Peringkat Akhir. Selain itu, peruntukan lain sebanyak RM254.1 juta diluluskan untuk pembekalan peralatan pelajaran Reka Bentuk Teknologi (RBT) sekolah rendah dan RM25.7 juta lagi untuk pengubahsuaian dan naik taraf bilik RBT dalam Rolling Plan ke-3. “Semua peruntukan ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menyokong pendidikan STEM,” menurut KPM sambil menambah bahawa pengajaran dalam sekolah tidak dapat dilaksanakan tanpa guru yang kompeten. “Usaha meningkatkan kompetensi guru dan pemantapan PdP di dalam dan luar bilik darjah juga merupakan antara langkah yang dilaksanakan bagi meningkatkan minat murid dalam pendidikan STEM,” kata KPM. KPM sedang bekerjasama dengan Yayasan Petronas (YP) untuk melaksanakan Program Duta Guru YP-KPM bagi memperkasakan 4,500 orang guru STEM dalam meningkatkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) melalui pendidikan STEM. Malah, KPM bekerjasama dengan Yayasan PETRONAS (YP) untuk melaksanakan Program Duta Guru YP-KPM bagi memperkasakan 4,500 guru STEM. Program jangka panjang bersama industri mengukuhkan keupayaan guru STEM di sekolah yang mana majoriti murid daripada golongan B40, dalam meningkatkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) melalui pendidikan STEM. “Selain itu, program ini juga berhasrat untuk melahirkan generasi penyelesai masalah, kalis masa depan,” menurut KPM. Program lain yang memberi fokus kepada meningkatkan penguasaan pedagogi dalam kalangan guru ialah Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) STEM Bersepadu di bawah Projek STEM Executive Consultation (STEMEC). Projek STEMEC turut memberi penekanan kepada peningkatan kompetensi dalam kalangan pengetua dan guru besar melalui pendekatan pembangunan organisasi untuk menerajui sekolah dalam pelaksanaan pendidikan STEM bersepadu dengan melibatkan semua warga sekolah dan komuniti setempat. Selain itu, KPM menghasilkan satu dokumen kompetensi guru bidang STEM untuk dijadikan panduan kepada guru, pemimpin, pembuat dasar serta pembekal latihan bagi memastikan guru KPM sentiasa berkualiti dan kalis masa depan. “Langkah ini dilaksanakan agar kompetensi guru KPM sentiasa seiring dengan cabaran pendidikan abad ke-21 serta kebitaraan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0),” ujar KPM. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube