suria

Anak dua tahun masih nak mengempeng? Ini petua mudah cerai susu badan, calit pewarna merah memang menjadi!

Susu ibu mengandungi banyak nutrien baik untuk bayi. -Gambar hiasan The Star

SUSU ibu membekalkan nutrien yang terbaik dan kandungannya akan sentiasa berubah mengikut keperluan bayi yang sedang membesar sekali gus memberi pelbagai manfaat.

Malah susu badan merupakan cara paling efektif untuk memastikan kesihatan dan perkembangan bayi jika dibandingkan dengan jenis penyusuan lain seperti susu formula.

Para doktor juga menyarankan supaya susu ibu diberikan sehingga bayi mencapai usia enam bulan dan seterusnya dilanjutkan sehingga dua tahun.

Bagaimanapun, sesetengah ibu berhadapan pelbagai cabaran bagi menghentikan susu mengikut tempoh yang disarankan kerana anak akan menunjukkan tanda protes termasuk menangis dan menjerit sepanjang hari.

Bagi anda yang berhadapan kesukaran seperti itu, apa kata cuba beberapa tip yang dikongsikan warga maya dalam Resepi Bayi Dan Tips ini.

ayah

1. Pujuk anak dengan lembut

Kanak-kanak mudah mendengar kata kedua orang tuanya. Oleh itu, teknik pujuk memujuk dengan menggunakan ayat yang sesuai seperti “adik dah besar tak boleh susu badan, nanti nak sekolah”, boleh digunakan.

Pada masa sama, si ibu perlu elakkan diri daripada menidurkan anak-anak sepanjang tempoh berkenaan dan menyerahkan tugas tersebut sepenuhnya kepada bapa.

Cara ini bagi membolehkan anak leka seterusnya melupakan rutin menyusu sehingga tidur.

Sepanjang tempoh tersebut, anak akan kerap merengek dan sering terbangun pada waktu malam kerana mencari 'susu'.

susu botol

2. Gantikan kepada susu formula

Bagi mengelakkan kebergantungan pada susu badan, para ibu boleh menggantikannya dengan susu formula.

Sebagai permulaan, kurangkan tempoh menyusu di badan dan menggantikannya dengan botol pada waktu siang. Selepas seminggu, cubalah kurangkan pada waktu malam pula.

Anak-anak lebih mudah menerima teknik ini dan tidak sukar dilakukan. Paling penting, kesabaran para ibu dan bapa ya!

main

3. Hentikan secara berfasa

Jarakkan waktu memberi susu dan pada masa sama limitkan tempoh. Ibu mesti tegas berkenaan waktu ya supaya anak tahu tempoh menyusu sudah tamat.

Bagi menjayakan kaedah ini, ibu mahupun bapa perlu sentiasa bermain dengan anak sehingga mereka leka dan sulamkan waktu tersebut dengan snek serta air kosong supaya anak sentiasa kenyang.

Apabila kenyang, anak akan semakin leka bermain seterusnya lupa untuk menyusu. Kadang kala, mereka akan terus tidur tanpa menyusu.

sirap

4. Letakkan pewarna merah

Warna merah sering dikaitkan dengan darah sehingga kebanyakan kanak-kanak berasa takut apabila melihatnya.

Mereka juga mempunyai perasaan yang tulus dan mudah berasa kasihan apabila ibu atau ayah mengalami kecederaan mahupun mengadu sakit.

Oleh itu, calitkan sedikit pewarna merah atau pati sirap pada bahagian areola dan nyatakan bahawa puting anda sakit dan tidak boleh memberinya susu.

akar seruntun

5. Calit makanan pahit

Kebanyakan ibu akan mencalit buah-buahan atau sayuran seperti peria yang mempunyai rasa pahit pada bahagian areola payudara. Ada juga yang menggunakan serbuk kopi dan getah akar seruntun kerana memberikan rasa lebih pahit.

Cuba oleskan bahan pahit seperti itu setiap kali anak ingin menyusu, dia pasti akan berasa serik dan seterusnya berhenti.

Bagaimanapun, sesetengah kanak-kanak tidak kisah dengan rasa pahit tersebut dan akan terus menyusu di badan seperti biasa.

Sepanjang tempoh wean off ini, bukan sahaja anak-anak akan merengek dan menangis, emosi para ibu juga akan terganggu kerana perlu bersikap tegas dengan si manja yang masih kecil.

Malah tingkah laku mereka juga akan sedikit berubah seperti gemar memegang payudara anda ataupun bermain lengan sebagai cara untuk menggantikan habit menyusu sebelum tidur.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain