suria

Rasa pernah buat benda sama, rupanya itu dejavu! Ahli fizik perjelas punca ia terjadi

Merasakan pernah berkunjung ke suatu lokasi sebelum ini merupakan penjelasan kepada dejavu. -Gambar hiasan/AFP

"EH kenapa aku rasa macam pernah lalu kawasan ini ya?"

Pasti ramai dalam kalangan kita yang pernah mengalami situasi sedemikian iaitu terasa seperti pernah berada di sesebuah lokasi sama, sebelum ini.

Banyak lagi keadaan yang boleh dikaitkan dengan situasi seperti ini, antaranya anda terasa pernah mengalami peristiwa yang sama pada sebelum ini dan sebagainya.

Apa yang anda sedang alami tersebut dikenali sebagai dejavu.

Menurut Syeikh Hisyam Kabbani, seorang sufi Islam, dejavu terjadi kerana jasad fizik kita mempunyai hubungan yang sangat erat dengan spiritual yang sudah tertulis di Luh Mahfudz.

Dalam sains perubatan, dejavu merujuk kepada satu situasi yang disebut 'dyscognitive state', iaitu situasi di mana akal fikiran seseorang tidak jelas pada waktu itu.

Dalam erti kata lain, ia adalah perasaan di mana akal fikiran seseorang tidak berada di situ pada waktu itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sama ada secara semula jadi atau tidak, penghidap OCD berdepan risiko kematian lebih tinggi - Kajian

'Dyscognitive state' terbahagi kepada tiga iaitu:

1) 'Increased reality' atau 'familiarity' iaitu merasakan pernah berada pada suatu tempat atau pernah mengalami satu suasana yang dialami pada masa lampau. Keadaan inilah yang disebut sebagai dejavu.

2) 'Strangeness' atau 'unfamiliarity' (jamais vu) iaitu perasaan berada pada suatu tempat yang asing atau baru sedangkan tempat itu sering dikunjungi.

3) 'Depersonalization' iaitu merasakan rohnya keluar dari jasad dan melihat sendiri jasadnya dari sudut lain. Dalam situasi tersebut akal fikirannya tidak melekat pada kenyataan dirinya.

deja vu 1

Punca dan mengapa dejavu boleh berlaku sehingga kini belum dapat dirumuskan secara tuntas oleh saintis. -Gambar hiasan

Sementara itu, seorang ahli fizik, Dr Zamir Mohyedin berkata, dalam erti kata mudah, dejavu adalah situasi di mana apa yang dilakukan oleh seseorang pada ketika ini terasa seperti sudah dilakukan sebelum ini.

"Contohnya, pakai baju sama, duduk di tempat yang sama, jumpa orang yang sama tetapi hakikatnya, benda yang kita buat sekarang ni cuma berlaku sekali sahaja tetapi kita ada perasaan benda tu berlaku dua kali dalam keadaan yang betul-betul serupa," terangnya.

Ujar beliau, punca dan mengapa dejavu boleh berlaku sehingga kini belum dapat dirumuskan secara tuntas oleh saintis.

"Cuma kita ada beberapa penjelasan yang tak muktamad tetapi rasa macam masuk akal.

"Pertama, dejavu terjadi mungkin disebabkan oleh otak kita memproses lebih awal sebelum sesuatu itu terjadi.

"Contohnya, kita berjalan dan tiba-tiba terjatuh. Sebelum kita terjatuh, otak kita dah proses lebih awal macam mana pengalaman terjatuh itu terjadi.

"Apabila dah terjatuh, barulah kita ada pengalaman yang kedua. Di sini bermakna kita ada dua pengalaman. Pengalaman pertama adalah pengalaman daripada otak yang telah proses terjatuh lebih awal.

"Pengalaman kedua, kejadian di mana kita betul-betul terjatuh," terangnya panjang lebar.

Menerangkan penjelasan daripada sudut yang lain pula, beliau berkata otak manusia memproses sebanyak dua kali perkara atau perbuatan yang dilakukan.

"Contohnya apabila kita terjatuh, itu pengalaman pertama. Kemudian bila selepas terjatuh, otak kita proses lagi pengalaman yang sama membuatkan kita rasa benda tu berlaku dua kali," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain