SETIAP individu semestinya mempunyai kriteria yang ditetapkan untuk calon yang bakal dijadikan pasangan hidup masing-masing. Sebenarnya, tidak salah untuk mendirikan rumah tangga dengan sesiapa sahaja asalkan ia tidak bertentangan dengan hukum syarak yang ditetapkan agama, termasuklah menikahi sepupu sendiri. Meskipun mempunyai pertalian darah, namun mengikut hukum agama Islam, ia dibolehkan kerana sepupu tidak termasuk dalam kalangan mahram. Bagaimanapun, seorang pengamal perubatan yang juga pempengaruh media sosial, Dr Ahmad Samhan, tampil berkongsi pandangannya mengenai implikasi perkahwinan membabitkan sepupu. ARTIKEL BERKAITAN: Ibu bapa perlu buat sesuatu jika anak obses dinosaur, tahap intelektual mereka ‘advance’ berbanding rakan sebaya - Pakar "Sebagai seorang doktor, saya tak galakkan you all untuk kahwin dengan sepupu sendiri. "Dari sudut agama, perkahwinan di antara sepupu adalah harus di sisi syarak. Kerana sepupu tidak termasuk dalam kalangan mahram. "Tetapi, syarak menggalakkan supaya bernikah dengan wanita asing kerana zuriat dan keturunan yang dilahirkan lebih sihat dan kuat," tulisnya dalam ciapan di laman X. Menjelaskan lebih lanjut, Dr Ahmad Samhan berkata, perkahwinan sesama sepupu tidak digalakkan dari sudut perubatan kerana pasangan berkongsi genetik yang sangat dekat. Dr Ahmad Samhan banyak berkongsi isu dan info kesihatan di laman sosialnya. "Lebih rapat pertalian, lagi tinggi persamaan genetik. Jadi lebih tinggi kemungkinan untuk mendapat penyakit keturunan genetik. "Persamaan genetik kita dan sepupu kita adalah 12.5 peratus. Jika terdapat sejarah penyakit turun temurun dalam keluarga, perkahwinan sepupu boleh meningkatkan risiko untuk mewarisi dan menyebarkan penyakit tersebut," ujarnya. Beliau turut memetik sebuah kajian yang diterbitkan di laman National Library of Medicine (NIH), yang mana hasil kajian merumuskan kanak-kanak daripada perkahwinan sepupu pertama mempunyai risiko empat hingga enam peratus untuk mengalami gangguan genetik resesif autosomal. "Contoh penyakit genetik resesif autosomal adalah talasemia, cystic fibrosis, dan spinal muscular atrophy. "Kanak-kanak daripada sepupu yang lebih jauh, mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mengalami gangguan ini, walaupun masih lebih tinggi daripada purata populasi. "Jadi, nasihat saya adalah boleh berkahwin dengan sepupu tapi digalakkan untuk kahwin dengan mereka yang tiada pertalian keluarga dengan kita," ujarnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube