PASANGAN yang baru mendirikan rumah tangga pastinya tidak sabar-sabar untuk menimang cahaya mata.
Apabila lambat datang haid atau mula berasa mual, si isteri akan terus melakukan ujian air kencing menggunakan kit yang dibeli di farmasi.
Namun, mereka yang kurang berpengalaman mungkin akan tersilap langkah sehingga mendapat hasil yang tidak tepat.
Menurut laman sesawang Hello Doktor, ujian air kencing untuk kehamilan paling tepat untuk dilakukan selepas satu atau dua minggu anda tidak datang haid.
Jika dilakukan terlalu awal, keputusan yang diperolehi mungkin negatif walaupun diri anda sebenarnya hamil.
Ini kerana badan mungkin belum menghasilkan hCG yang mencukupi untuk dapat dikesan kit kehamilan.
Perkara yang perlu dibuat
1. Masa yang sesuai
Ujian kehamilan yang baik biasanya boleh mengesan kehamilan dalam masa tujuh hari selepas terlepas haid.
Pada masa itu badan berkemungkinan telah menghasilkan hCG mencukupi untuk dapat dikesan melalui ujian air kencing.
Kehadiran cahaya mata menjadi penyeri dalam hubungan suami isteri. -Gambar hiasan
Jika terdapat hCG dalam badan, ia akan terkumpul dalam air kencing semalaman dan memuncak pada waktu pagi.
Melakukan ujian selepas bangun pagi membantu untuk mendapatkan keputusan yang lebih tepat.
2. Semak tarikh
Pastikan menyemak tarikh luput kit kehamilan atau anda mungkin akan mendapat hasil kurang tepat.
3. Baca arahan
Tidak semua kit kehamilan sama. Jadi walaupun anda mungkin pernah melakukannya sebelum ini, anda tetap perlu membaca arahan sepenuhnya untuk memastikan ia dilakukan dengan betul.
4. Guna cawan
Kumpulkan air kencing di dalam cawan plastik. Kemudian, rendam kit kehamilan di dalamnya mengikut tempoh yang ditetapkan
Perkara yang perlu dielakkan
1. Minum air terlalu banyak
Anda mungkin akan mendapat hasil negatif palsu jika minum terlalu banyak air sebelum melakukan ujian.
Ini kerana tindakan tersebut boleh mencairkan air kencing dan mengakibatkan hCG yang mencukupi sukar dikesan.
2. Tempoh ujian
Terdapat had masa untuk membaca hasil keputusan. Jika anda membacanya di luar tempoh masa yang digariskan seperti dalam arahan, keputusan yang diperolehi menjadi tidak tepat.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube