TULAR di laman TikTok mengenai perkongsian seorang wanita berstatus orang kelainan upaya (OKU) yang tampil mendedahkan bagaimana dia menjadi buta. Menerusi perkongsian di akaun @ilakamilah97, wanita tersebut berkata dia masih mampu mengecam kedudukan barang dan warna ketika kecil. Namun ketika berusia sekitar lima ke enam tahun, pandangannya menjadi semakin gelap disebabkan gemar bermain di luar sehingga membuatkan matanya kerap kali mengalami kegatalan. "Seperti mana kanak-kanak lain yang suka bermain di taman, begitu jugalah saya. Saya dulu kasar juga orangnya... jadi memang suka main dekat luar. "Apabila kita main dekat luar ni habuk-habuk berterbangan dekat mata, jadi ia akan jadi gatal. "Itu yang saya tenyeh-tenyeh mata, lepas tu dah jadi tak nampak. Makin lama makin gelap sebab mereka kata selaput dah tutup biji mata. "Saya suka tenyeh mata, tekan mata sebab gatal," katanya. Mata yang digosok berulang kali cenderung berair dan menjadi kemerahan. -Gambar hiasan Menjengah ruangan komen pula, rata-rata warga maya meluahkan rasa 'seram' dan bimbang jika mengalami nasib sepertinya kerana mengakui mereka juga mempunyai tabiat sama. Namun sejauh manakah tabiat menenyeh atau menggosok mata boleh membuatkan seseorang buta? ARTIKEL BERKAITAN: Doktor kongsi jenis ubat titis mata dan kegunaannya, tersilap beli bukan sembuh tapi makin teruk Memetik laman Hellodoktor, secara faktanya menggosok mata merupakan tabiat buruk yang boleh membawa kepada pelbagai komplikasi risiko kesihatan terhadap mata. Antaranya: 1) Menjejaskan penglihatan Tabiat ini boleh merosakkan penglihatan yang baik. Ini kerana menggosok mampu memecahkan saluran darah di mata, menyebabkan percikan darah. 2) Konjunktivitis Tangan adalah tempat yang mengandungi banyak kuman. Oleh itu, apabila seseorang gosok mata dengan tangan, kuman akan segera dipindahkan ke mata yang menyebabkan jangkitan. 3) Kerosakan kornea Jika terdapat objek asing yang terperangkap di dalam mata, tabiat menggosok hanya memburukkan keadaan yang mana ia boleh merosakkan kornea. Menggosok mata terlalu kerap juga boleh menyebabkan kornea menjadi semakin nipis. Keadaan ini dipanggil keratoconus yang menyebabkan penglihatan terganggu. Menggunakan ubat titis merupakan salah satu cara mengatasi mata kering atau ketidakselesaan pada mata. -Gambar hiasan Berikut adalah tip untuk memastikan mata anda selamat dan sihat: 1) Sekiranya terdapat objek asing yang terperangkap pada mata, keluarkannya dengan mencuci mata seperti sterile saline atau pelincir. Jika kaedah ini gagal, berjumpa doktor untuk mendapatkan bantuan. 2) Gunakan titisan mata dengan kerap untuk menjaga mata daripada terhidrasi sambil mengelakkan kekeringan, kegatalan atau kerengsaan. 3) Mengambil sayuran seperti lobak merah, ikan berlemak atau sayuran berdaun seperti bayam dan kangkung yang sememangnya baik untuk mata. 4) Mengambil makanan tambahan seperti Vitamin A, vitamin E, zink, kalsium atau minyak ikan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube