suria

Budak 12 tahun ketagih ayam goreng setiap hari, makan 200 ketul setahun! Akhirnya ke pusat dialisis seumur hidup

Memakan ayam goreng terlalu kerap memudaratkan kesihatan. -Gambar hiasan

TABIAT pengambilan makanan yang tidak sihat menjadi salah satu penyumbang kepada pelbagai penyakit.

Antara makanan yang tidak sihat adalah seperti makanan segera, makanan ringan atau jajan, makanan yang diproses dan sebagainya.

Tidak salah jika mengambilnya dalam kuantiti yang sedikit atau sekali sekala, namun pengambilan secara berlebihan hanya akan mengundang mudarat kepada tubuh badan.

Begitulah nasib yang menimpa seorang pelajar berusia 12 tahun dari Taiwan, yang mana dia perlu menjalani dialisis buah pinggang seumur hidup gara-gara memakan ayam goreng setiap hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Sedap, mudah, cepat tapi undang penyakit! Ketahui 4 kumpulan makanan proses berdasarkan cara pemprosesannya

Kisah mengenai kanak-kanak itu didedahkan pakar nefrologi Taiwan, Dr Hong Yongxiang.

Menurut laporan media tempatan, kanak-kanak tersebut menghabiskan elaunnya setiap hari untuk membeli ayam goreng selepas habis waktu persekolahan.

Texas Chicken - 8-piece chicken mix

Ayam goreng sememangnya menjadi kegemaran ramai terutamanya kanak-kanak. -Gambar hiasan

Dalam masa setahun sahaja, dia sudah memakan lebih 200 ketul ayam goreng!

Kini, dia perlu menjalani dialisis buah pinggang seumur hidup untuk membersihkan organ tersebut dan membuang toksin.

Menurut doktor, ayam yang digoreng secara kaedah deep frying bukan sahaja tidak sihat malah minyak yang digunakan secara berulang (kitar semula) juga berbahaya kepada kesihatan.

"Polisiklik aromatik hidrokarbon (PAH), amina isocyclic, akrilamida dan logam berat, ini adalah bahan yang boleh menimbulkan ancaman serius kepada kesihatan, terutamanya bahagian buah pinggang," ujarnya.

Beliau memberi amaran kepada orang ramai bahawa karsinogen berkenaan (ejen yang boleh mencetuskan pertumbuhan barah) bukan sahaja merosakkan fungsi buah pinggang, tetapi juga boleh menyebabkan masalah kesihatan lain.

"Kesihatan buah pinggang adalah sangat penting. Makanan tinggi lemak, tinggi gula, tinggi garam dan berkalori tinggi, terutamanya makanan yang diproses, logam berat harus dielakkan dalam kehidupan seharian," ujarnya lagi.

pic 3

Ayam goreng meningkatkan risiko seperti obesiti. -Gambar hiasan

Memetik daripada laman Eat This, tabiat memakan ayam goreng dengan terlalu kerap juga mengundang kesan sampingan seperti berikut:

1. Meningkatkan kolesterol

2. Membuatkan suhu tubuh naik

3. Berat badan bertambah

4. Risiko infeksi saluran kencing

Jadi para ibu bapa sekalian, pantaulah makanan yang diambil oleh anak-anak anda.

Bayangkan, ketika kanak-kanak lain menghabiskan masa bermain dan belajar, tetapi anak anda terpaksa berulang-alik ke hospital pula.

Peganglah kata-kata, mencegah adalah lebih baik daripada merawat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain