suria

Anak dah kahwin, mak ayah usah sibuk ‘mengekor’ sana sini! Ini 5 nasihat padu buat mentua

Campur tangan daripada ibu bapa atau mentua boleh menjadi penyebab keruntuhan sesebuah rumah tangga. -Gambar hiasan

SALAH satu punca keretakan rumah tangga khususnya melibatkan pasangan muda adalah disebabkan campur tangan ibu bapa atau mentua.

Buktinya, acap kali kita disajikan dengan pelbagai luahan di media sosial tentang perasaan mereka yang tertekan dengan sikap buruk mentua.

Terpanggil untuk mengulas perkara berkenaan, seorang usahawan produk kesihatan wanita yang banyak berkongsi tip rumah tangga di TikTok, Sarina Kak Tam tampil memberikan nasihat khusus untuk golongan mentua:

1. Jangan suka masuk campur urusan anak yang sudah berkahwin.

- Contohnya mengambil tahu urusan kerja rumah seperti memasak, mengemas, perancangan keluarga dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Campur tangan dalam rumah tangga, ibu-bapa tidak harus suruh anak bercerai tanpa alasan dibenarkan Allah

2. Jangan selalu datang ke rumah anak.

- Apabila mentua pergi ke rumah anak menantu dan menetap untuk tempoh yang lama, hal berkenaan boleh mengubah rutin harian mereka.

- Contohnya, mereka tidak dapat melakukan perkara biasa kerana kehadiran 'orang luar'.

mentua 2

Sarina Kak Tam banyak berkongsi tip rumah tangga di media sosial.

3. Jangan terlalu kerap telefon hanya kerana perkara remeh.

- Perkara ini menimbulkan rasa kurang selesa dan akhirnya mengundang stres. Seterusnya mereka cenderung melampiaskan kemarahan kepada pasangan masing-masing.

4. Jangan selalu 'mengekor' terutamanya ketika bercuti.

- Anak dan menantu yang kedua-duanya bekerja lazimnya akan bercuti sekali sekala untuk merehatkan minda atau honeymoon bagi meraikan ulang tahun perkahwinan.

- Biarpun mereka mengajak, sebaiknya beri mereka peluang menghabiskan masa berdua. Rancanglah percutian lain jika ingin meluangkan masa bersama seisi keluarga.

mentua 1

Setiap ibu bapa perlu memahami bahawa anak yang sudah berkahwin mempunyai ruang privasi sendiri. -Gambar hiasan

5. Jangan simpan perasaan cemburu kepada menantu.

- Perkara ini sering terjadi membabitkan menantu perempuan.

- Ada sesetengah ibu mentua kurang senang melihat layanan anak lelaki mereka terhadap isteri, contohnya membelikan barang kemas, beg tangan, pakaian, membantu melakukan kerja rumah dan sebagainya.

Senang cerita, sebagai ibu bapa, seharusnya kita bersikap lebih terbuka dan membiarkan anak serta menantu mencorakkan rumah tangga mereka dengan cara tersendiri.

Tidak salah untuk menegur jika ada benda yang tidak 'kena', asalkan sesuai tempat dan situasinya. Barulah harmoni keluarga kedua-dua belah pihak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain