WANITA ini mula menjadi perhatian warga maya termasuk Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selepas berkongsi mengenai kaedah penanaman padi dalam pasu yang diusahakan di laman rumah. Namun siapa sangka, dia dahulunya seorang usahawan pelbagai bidang sebelum memilih untuk bergelar petani moden. Dek kerana sudah terbiasa dengan rutin harian yang sibuk, wanita ini tidak betah duduk sahaja, lantas tampil dengan idea unik untuk cuba berjinak-jinak menanam padi. Berkongsi cerita dengan mStar, Siti Aai Shah Rahman Shah berkata, dia sememangnya gemar bercucuk tanam biarpun ketika masih bekerja sebelum ini. Hasil padi sawah yang menjadi dan berjaya dituai. "Sejak Januari, saya dah tak terlibat lagi dengan dunia bisnes. Bila kita dah biasa bekerja, ia jadi blank kejap. "Sebelum ini saya ada tanam strawberi sekitar 10 pasu di samping beberapa jenis sayur. Asalnya plan nak teruskan dengan pokok strawberi. Tapi sementara tunggu hasil, saya terfikir apa lagi nak ditanam. "Saya juga dah biasa buat content media sosial. Jadi saya terfikir, nak tanam sesuatu yang dalam masa yang sama bermanfaat. Itu yang terfikir nak tanam padi, lagi pula sudah ada yang berjaya menanam padi dalam pasu," kongsi wanita yang menetap di Taman Lavender Heights, Seremban, Negeri Sembilan ini. Selain padi sawah, Siti Aai Shah turut menanam buah strawberi. Bermula pada Februari, Siti Aai Shah berkata dia mula menanam sekitar 50 pasu padi sawah dengan modal yang rendah. "Saya buat research dan merujuk kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi). Beli benih padi sawah pun dekat Shopee saja. Baja pula guna baja kopi. "Memang tak sangka progress tanaman menjadi seperti yang saya rujuk kajian Mardi. Lebih excited masa pokok keluarkan buah hari ke-70, dan pada hari ke-90 dah menunduk. Bila pegang dengan tangan, excited sebab ia menjadi walau dalam pasu," ujarnya yang pernah mengusahakan bisnes bakeri, taska dan butik pakaian muslimah. ARTIKEL BERKAITAN: Buat kuih comel untuk isteri, tak sangka orang luar pun minat! Abang Pancake Kartun ‘diburu’ pelanggan dari seberang Untuk batch pertama, menurut Siti Aai Shah, hasil padi yang berjaya dituai menjadi beras adalah sekitar 3.4 kilogram. "Apabila dah nampak hasilnya, saya kemudian upgrade baja yang khusus untuk padi. Sekarang saya juga cuba menanam padi huma, beras wangi, gandum, beras perang. "Tak terfikir lagi nak cari kawasan lapang.... hanya manfaatkan halaman rumah. Tapi jika ada peluang, apa salahnya," ujar ibu kepada lima cahaya mata ini. Sebenarnya, tanam padi ni kita tak hadap 24 jam pun. Ia tak complicated seperti sesetengah orang fikir. SITI AAI SHAH RAHMAN SHAH Sejak meraih perhatian, Siti Aai Shah mengakui selain mendapat pujian serta komen positif ramai, dia menyedari ada segelintir netizen yang seakan-akan memandang rendah akan usahanya itu. Namun menurutnya, perkara berkenaan tidak menjadi 'kudis' malah dia menjadikan situasi tersebut sebagai pembakar semangat untuk terus mengorak ke hadapan. Pelbagai tanaman yang diusahakan di halaman rumah Siti Aai Shah. "Bagi saya, masing-masing ada pendapat. Yang tak tahu, mereka hanya nampak luaran saja. Nampak seperti buang masa, leceh, baik beli beras di kedai. "Sebenarnya, tanam padi ni kita tak hadap 24 jam pun. Ia tak complicated seperti sesetengah orang fikir. Jika kita suka sesuatu, mesti kita tak kisah berhabis wang atau tenaga untuknya. "Kepuasan yang saya rasai, lebih gembira bila sama-sama share ilmu dengan orang lain terutama suri rumah, adalah tak terbanding dengan kecaman orang," akhirinya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube