RAUT wajah seseorang boleh menggambarkan perasaan yang terbuku dalam hatinya. Melalui satu hantaran di laman Facebook, pemuda dikenali sebagai Hafidzullah berkongsikan coretan tentang perbualan antara dirinya dengan seorang lelaki lanjut usia di sebuah warung. Menurutnya, warga emas tersebut baru pulang dari masjid dan duduk semeja dengannya untuk menikmati minuman. Berdasarkan pemerhatian pemuda itu, dia kagum bagaimana pakcik berkenaan kelihatan sentiasa tenang sedangkan dirinya dihimpit kerisauan tanpa henti tentang bermacam hal. "Pakcik, saya nak tanya sikit, macam mana pakcik boleh selalu tenang? Saya sering stres dengan kerja," soal Hafidzullah cuba mendapatkan nasihat daripada individu yang terlebih dahulu 'makan garam' dan arif dengan liku-liku kehidupan. Setiap insan mempunyai ujian hidup tersendiri. -Gambar hiasan Pengisian daripada perbualan itu kemudiannya dirangkumkan kepada beberapa cabang. Ayuh kita bersama-sama ambil manfaat. 1) Hubungan dengan alam Anggap ia sebagai satu proses untuk lari sebentar daripada masalah yang membelenggu. "Kalau otak dah serabut sangat, pergi berjalan di luar dan tengok pokok-pokok. Tarik nafas dalam-dalam, kemudian hembus perlahan-lahan. "Selepas buat macam ni, fikiran mesti akan jadi tenang sikit," ujar pakcik itu yang dikenali sebagai Ali. 2) Mencari makna kehidupan Tambahnya lagi, penting untuk seseorang itu mengenang kembali perkara dilakukan dalam urusan seharian yang berjaya memuaskan hati. "Sebelum tidur, tulis tiga benda kau buat yang menggembirakan kau pada hari tu. Benda kecil pun tak mengapa, asalkan ada. Nanti hidup ini akan dirasakan lebih bermakna," katanya. 3) Masa untuk diri sendiri Walaupun masa banyak dihabiskan untuk urusan pekerjaan, waktu peribadi tidak seharusnya diabaikan. "Cari masa untuk buat benda yang kau suka. Tak kisah apa pun, janji kau bahagia. Macam pakcik sendiri, pakcik suka berkebun," jelasnya. Sebelum berlalu pergi, Hafidzullah sempat membayar minuman pakcik Ali sebagai tanda terima kasih. - Mohd Hafidzullah Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube