suria

Ramai tak setuju saranan tekan 3 kali untuk start enjin kereta... Pakar automotif pun bersuara - “Kenapa nak susahkan diri?”

Setiap kenderaan mempunyai struktur dalaman yang kompleks. -Gambar hiasan

AWAL Julai lalu gempar perbincangan di media sosial mengenai cara betul menghidupkan enjin kereta jenis push start button.

Menurut seorang lelaki dikenali sebagai Abang Loan, teknik yang sepatutnya adalah dengan menekan butang elektronik sebanyak tiga kali supaya sistem kereta bersedia untuk diaktifkan.

Dikatakan dengan mengamalkan teknik sebegitu ia dapat memanjangkan jangka hayat kereta dan mengelakkannya daripada senang meragam.

ARTIKEL BERKAITAN: Kereta dah 5 tahun tak pernah meragam, lancar macam baru beli... Rahsianya pada teknik start enjin

Namun melalui satu hantaran berbeza di laman Facebook, seorang pensyarah kejuruteraan mekanikal (automotif) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dikenali sebagai Hasbullah tampil menyangkal saranan tersebut.

Memulakan bicara, Hasbullah menjelaskan butang tersebut berfungsi sebagai pelengkap litar elektronik di dalam kereta untuk menghidupkan enjin.

"Butang tu disambungkan kepada motor starter. Apabila kita tekan butang, motor starter akan tarik tenaga elektrik daripada bateri dan disalurkan kepada enjin untuk memulakan operasi," jelas Hasbullah.

Menjadi kepercayaan enjin kereta perlu dipanaskan sebelum bergerak. -Gambar hiasan

Kebenaran di sebalik mitos

Menurut penerangan Hasbullah, teknologi butang push start button sudah diperhalusi jurutera sejak bertahun-tahun lamanya.

"Teknologi ni sudah diuji dengan sangat lama, sekurang-kurangnya enam hingga tujuh tahun sebelum dimasukkan ke dalam kereta untuk pengeluaran. Sebab apa begini?

"Kerana syarikat automotif kebiasaannya akan berikan warranty sampai lima tahun, jadi apa pun yang mereka masukkan ke dalam kereta harus dipastikan boleh bertahan lama. Kalau tidak rugi la mereka.

"Termasuklah komponen butang push start ni. Sebelum kereta tu secara rasminya dikeluarkan, barisan jurutera dah test drive secara lasak dengan bermacam orang, termasuk mereka yang tak tahu langsung guna kereta.

"Mereka pastikan semuanya mantap, kalau ikutkan kita tak perlu risau pun nak buka bonet kereta untuk buat pemeriksaan. Sampai macam tu sekali mereka punya teliti," jelas Hasbullah.

Jurutera memang pastikan setiap komponen dalam kereta akan berinteraksi seperti yang sepatutnya tanpa apa-apa isu.

HASBULLAH

PENSYARAH AUTOMOTIF

Kebijaksanaan enjin kereta

Tambah Hasbullah, sebarang teknik untuk menekan butang push start tidak akan menyebabkan kerosakan pada kereta.

"Tak kisah la kita nak tekan sampai lapan kali pun, enjin kereta dah cukup bijak untuk bergerak sendiri. Jurutera memang pastikan setiap komponen dalam kereta akan berinteraksi seperti yang sepatutnya tanpa apa-apa isu.

"Tiada istilah kita kena tunggu enjin kereta bersedia dan sebagainya sebab jurutera dah nampak semua benda ni jauh lebih awal daripada kita. Mereka nak memudahkan kita, kenapa kita nak memandai-mandai menyusahkan diri pula?

"Kalau kita tengok buku panduan kereta pun, tak pernah lagi saya jumpa yang bagi arahan kena tekan tiga kali ni. Syarikat automotif sendiri tiada bagi sebarang kenyataan, malah lebih banyak kenderaan yang ada butang push start sekarang termasuk motosikal.

"Kalau betul bermasalah mesti mereka dah lama buang," ujar Hasbullah.

Kereta merupakan aset yang perlu dijaga dengan baik. -Gambar hiasan

Tidak menjadi satu kesalahan

Menutup perkongsian, Hasbullah berkata tiada sebarang paksaan dan terpulang pada masing-masing untuk memilih teknik mengikut kesesuaian sendiri.

"Kesimpulannya kereta push start button memang direka bentuk untuk kita masuk dan sekali tekan bagi menghidupkan enjin, mudah je. Tak perlu risau akan berlaku kerosakan kalau kita buat macam tu.

"Tapi tak bermaksud juga salah kalau nak buat kaedah tekan tiga kali untuk start kereta, boleh teruskan kalau dah selesa macam tu.

"Nak jaga kereta ni mudah je, apabila sampai masanya dalam jadual, pergi hantar kereta untuk buat pemeriksaan," kata Hasbullah mengakhiri bicara. - Mekanika Malaysia

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain