BERCUCUK tanam tidak memerlukan kos tinggi sekiranya anda menggunakan petua yang betul. Melalui satu hantaran di laman Facebook oleh Syafiq Baharin, ada dikongsikan teknik untuk membuat baja sendiri dengan hanya menggunakan rumput liar. Kini anda tidak perlu mengeluarkan wang tambahan bagi menyuburkan tanaman. "Saya belajar cara ini daripada JADAM di Korea iaitu teknik pertanian seratus peratus organik. Baja rumput liar ni saya gunakan sepenuhnya untuk semua tanaman saya. "Boleh dikatakan kos hampir RM0 kerana kebanyakan bahannya sudah ada tersedia di rumah kita," ujar Syafiq. Ayuh kita lihat! Bancuhan baja akan sedikit berbau pada mulanya. Bahan-bahan: 1) AIr hujan AIr paip juga boleh digunakan tetapi sebaiknya biarkan dahulu dalam tiga hingga empat hari sebelum dibancuh menjadi baja. AIr hujan adalah yang paling disarankan. 2) Leaf mold Ia adalah sejenis tanah yang terbentuk daripada daun-daun reput, sangat kaya dengan nutrien. Boleh dicari di bawah pokok yang mempunyai banyak daun kering gugur, lebih besar jumlahnya lagi bagus. Ciri warna tanahnya gelap kehitaman, ambil dalam dua genggam untuk dijadikan baja. 3) Rumput liar Sebarang jenis rumput liar boleh digunakan, ambil dari kawasan halaman rumah anda. Pengumpulan leaf mold pada pangkal pokok. -Gambar hiasan Langkah-langkah: 1) Ambil satu tong atau sebarang bekas penyimpanan yang bersesuaian, pastikan ia mempunyai penutup. 2) Penuhkan dua per tiga tong dengan rumput liar yang dikutip, mampatkannya ke bawah sehingga menjadi padat. 3) Penuhkan tong dengan air hujan sehingga sampai ke atas dan menutupi semua rumput liar. 4) Masukkan dua genggam leaf mold ke dalam tong, biarkan ia tenggelam di dalam air. 5) Tutup tong dan biarkan bancuhan diperap sehingga sekurang-kurangnya dua minggu, lagi lama perapannya lagi bagus. Kini sedia untuk digunakan. Sayuran lebih segar-bugar dengan bantuan baja organik rumput liar. Cara penggunaan: 1) Ambil satu liter air dan masukkan 10 mililiter (ml) baja yang sudah diperap, nisbahnya adalah 1:100. 2) Boleh siram pada pokok seminggu sekali. 3) Apabila bekalan baja hampir habis, tambah lagi segenggam leaf mold di dalam tong yang sama, penuhkan semula dengan rumput liar dan air hujan. Selamat mencuba! - Syafiq Baharin Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube