suria

Jangan langgar 'hukum' hiasan dalaman! Arkitek kongsi tip pilih lampu, ada beza antara cahaya putih, kuning

Lampu memainkan peranan penting di dalam rumah. -Gambar hiasan

KEDIAMAN akan lebih sedap mata memandang sekiranya tidak melanggar 'hukum' reka bentuk dalaman.

Antara perkara penting yang perlu diberikan perhatian adalah pemilihan lampu dengan cahaya bersesuaian untuk menerangi rumah.

Melalui satu hantaran di laman X, seorang arkitek dikenali sebagai Maryam Yahya berkongsikan tip memilih lampu berdasarkan aktiviti kawasan di dalam rumah.

Menurutnya, terdapat tiga kategori cahaya lampu iaitu warm white (3,000 Kelvin), daylight (5,000 Kelvin) dan cool white (6,500 Kelvin).

Untuk makluman, Kelvin merupakan ukuran suhu cahaya, lebih tinggi nilainya bermaksud warna cahaya akan menjadi semakin putih manakala lebih rendah akan semakin kekuningan.

Ayuh kita lihat dengan lebih lanjut kupasannya.

Skala suhu cahaya.

1) Warm white

Warna lampu sebegini adalah lebih sesuai untuk kawasan yang digunakan sebagai tempat berehat di dalam rumah seperti bilik tidur dan ruang tamu.

Malah lebih kuning cahayanya iaitu dalam 2,700 Kelvin adalah lebih baik kerana menjadikan persekitaran kelihatan tenang.

Lampu bersifat daylight juga boleh dipasang di dalam ruang sebegini tetapi pastikan ia tidak mengganggu orang lain ketika sedang tidur, misalnya lampu lantai dan lampu katil yang boleh dinyalakan apabila lampu utama sudah ditutup.

2) Daylight

Juga dikenali sebagai white, ia mirip dengan cahaya matahari, justeru sesuai untuk dipasang di kawasan luar seperti koridor dan halaman rumah.

3) Cool white

Warna lampu ini sedikit kebiruan, sesuai bagi ruang bekerja kerana memudahkan pembacaan dan membantu minda untuk fokus.

Maklum balas netizen

"Ya betul, saya dulu di universiti ambil kursus seni bina, memang ini perkara diajar tentang lampu dalam subjek persekitaran.

"Kalau main pasang je lampu ikut sedap hati nanti jadi macam rumah saya, semua tempat lampu kuning, memang sakit kepala kalau nak baca buku," demikian kata warga maya. - Maryam Yahya

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain