suria

Bisnes makanan tak berbaloi, wanita ini pilih jadi ‘rider’ penghantaran... Teruja bakal sertai perarakan merdeka!

Asma bekerja sebagai rakan penghantar Grab sejak dua tahun lalu.

BERBEKALKAN usaha dan tawakal, seorang wanita akhirnya berjaya mengubah nasib diri.

Menurut Nur Asma Omar, 34, keputusannya untuk bergelar rakan penghantar Grab kira-kira dua tahun lalu merupakan satu pilihan yang tepat buatnya.

Senang disapa Asma, dia berkata pekerjaan sebagai rider penghantar makanan mampu menjana pulangan lebih tinggi berbanding perniagaan yang diusahakan sebelum ini.

"Sebelum ini saya pernah berniaga makanan dari rumah selama dua tahun. Namun kawasan rumah lama saya di Cheras kerap banjir. Setiap kali banjir, saya perlu kemas barang berniaga.

WhatsApp Image 2024-08-29 at 5.56.18 AM

Asma berniaga makanan di rumah sebelum dia menyertai Grab.

"Kemudian suami saya bagi cadangan supaya saya jadi rider. Lagi pun saya memang ada lesen. Suami saya merupakan seorang posmen, tapi dia juga buat kerja sambilan sebagai rider. Jadi, di situlah bermulanya kerjaya baharu saya," ujarnya kepada mStar.

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata itu, jadual kerja yang sangat fleksibel dan boleh ditentukan sendiri membolehkan dia menguruskan keluarga dengan mudah.

"Saya rasa seronok bekerja sebagai rider. Waktu bekerja juga fleksibel, jadi mudah untuk saya uruskan waktu, tambah-tambah pula anak dah masuk darjah satu.

ARTIKEL BERKAITAN: Rider baik hati kongsi rezeki minyak petrol, beria-ria nak bayar... Makcik tiba-tiba terkejut nampak tangan palsu di sebalik anduh!

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita beri tip, anggap sejarah tercipta rider mesej ucap terima kasih... Terharu baca kata-kata menyentuh hati

"Pagi saya akan kemas rumah, uruskan anak, kemudian baru keluar bekerja. Biasanya saya akan habis kerja waktu petang atau pukul 8 malam," ujarnya yang kini menetap di Kepong.

Menurut Asma, dia juga bersyukur apabila pekerjaan itu membuka pintu rezeki serta peluang yang tidak pernah dibayangkannya sebelum ini.

"Saya merupakan antara rakan rider yang terpilih untuk menyertai perarakan sempena Hari Kemerdekaan tahun ini. Saya seronok dan bangga apabila dapat peluang keemasan seperti ini.

WhatsApp Image 2024-08-29 at 10.37.02 AM (2)

Asma berkata status jantina bukan penghalang untuk dia menyertai kerjaya itu.

"Antara kenangan lain, saya juga pernah menghantar makanan ke Parlimen. Sebelum ini saya tak pernah masuk Parlimen. Tak sangka, dengan pekerjaan ini, saya boleh jejak kaki ke Parlimen," ujar Asma lagi.

Akhir bicara, Asma turut menitipkan pesan buat wanita di luar sana agar cekal dalam kehidupan, termasuklah ketika menceburi kerjaya yang didominasi kaum lelaki.

"Pada saya tak salah untuk mencuba kerjaya ini. Ia boleh membantu kewangan keluarga. Saya juga jumpa ramai rider wanita ketika bekerja dan kami juga ada kumpulan komuniti bersama.

"Jika ada apa-apa kemusykilan dan masalah, kami akan berkongsi dengan kumpulan itu. Jadi, tiada masalah untuk wanita turut bergelar sebagai rider penghantar makanan.

"Kalau orang lelaki boleh, wanita pun boleh. Tiada masalah daripada segi jantina bagi saya. Malah, pekerjaan ini saya rasa lebih berbaloi berbanding bisnes makanan saya sebelum ini," ujar Asma lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain