suria

Usah lepak di gim lama-lama... Abang sado kena beringat, senaman berlebihan boleh jejaskan kualiti sperma

Kaum Adam disarankan agar bersederhana dalam melakukan senaman. -Gambar hiasan

DALAM kehidupan, kita sememangnya digalakkan untuk sentiasa bersederhana dalam apa jua perkara.

Begitu juga dengan amalan hidup sihat yang diamalkan kebanyakan lelaki hari ini.

Bersenam sememangnya bagus untuk kesihatan, namun kita tidak digalakkan untuk melakukannya secara ekstrem sehingga terlalu memaksa tubuh.

Kebimbangan timbul sejak beberapa tahun kebelakangan ini mengenai potensi kaitan antara senaman gim yang berlebihan dengan kemandulan lelaki.

Kesan Gim Berlebihan

Satu kajian bertajuk The Impact of Intense Exercise on Semen Quality memberikan penjelasan mengenai bagaimana latihan intensif mempunyai kaitan dengan penurunan jumlah sperma dan pergerakan sperma, serta peningkatan sperma abnormal.

Menurut Perunding Kesuburan di Nova IVF Fertility, Dr. Nisha Pansare, senaman berlebihan berisiko menganggu keseimbangan hormon yang berkait dengan kesihatan reproduktif lelaki.

“Senaman yang kerap meningkatkan kesuburan, membantu menjaga kesihatan keseluruhan, mengawal berat badan, dan memperbaiki keseimbangan hormon.

"Walau bagaimanapun, senaman yang berlebihan, digabungkan dengan masa pemulihan yang tidak mencukupi dan pemakanan yang tidak baik, boleh mengganggu keseimbangan hormon yang penting untuk kesihatan reproduktif,” jelas Pansare.

Cropped view of kids training with dumbbells

Senaman yang terlalu intensif tidak digalakkan untuk dilakukan setiap hari. -Gambar hiasan

Dengan melabelkan fenomena ini sebagai Exercise-Induced Hypogonadism, Pansare menyenaraikan sebab-sebab mengapa terlalu banyak bersenam di gim boleh menyebabkan masalah kesuburan pada lelaki:

1. Latihan berlebihan: Latihan fizikal yang berlebihan menggunakan tahap testosteron semula jadi badan bagi menyediakan tenaga yang diperlukan untuk sesi tersebut dan membina jisim otot. Ini boleh mengurangkan testosteron yang diperlukan oleh badan untuk mengekalkan pengeluaran sperma dan kesuburan.

2. Suhu badan yang tinggi: Senaman yang berintensiti tinggi, terutamanya dalam persekitaran yang panas boleh meningkatkan suhu badan teras anda. Suhu yang tinggi di dalam testis boleh menghalang pengeluaran dan kualiti sperma.

3. Tekanan dan kortisol: Senaman berintensiti tinggi dan latihan berlebihan juga menambah tekanan pada badan anda dan boleh meningkatkan pengeluaran kortisol dalam badan. Tahap kortisol yang tinggi memberi kesan negatif kepada pengeluaran sperma kerana ia juga mengurangkan pengeluaran testosteron.

“Untuk menguruskan risiko kemandulan akibat terlalu kerap bersenam di gim, pengunjung gim harus mencari keseimbangan antara intensiti dan tempoh senaman, mengutamakan pemakanan mereka dan melakukan senaman penyejukan selepas bersenam.

"Akhirnya, kesederhanaan dan pendekatan holistik terhadap kecergasan adalah kunci untuk mengekalkan kesejahteraan fizikal dan reproduktif, bukan hanya untuk lelaki, tetapi juga untuk wanita," jelas Pansare.

Saranan

1. Kesederhanaan: Elakkan senaman yang terlalu intensif setiap hari, dan masukkan hari rehat ke dalam rutin kecergasan untuk membolehkan badan anda pulih.

2. Kekal terhidrat: Penghidratan yang betul adalah penting, terutamanya semasa senaman yang intensif, untuk membantu mengawal suhu badan anda.

3. Pemakanan: Pastikan anda mengambil diet yang seimbang dengan nutrien yang betul yang meningkatkan kesihatan reproduktif, termasuk vitamin dan mineral seperti zink dan asid folik.

4. Rujuk pakar: Jika anda bimbang tentang bagaimana rutin senaman mungkin menjejaskan kesuburan anda, jangan teragak-agak untuk berunding dengan profesional penjagaan kesihatan. - OnlyMyHealth.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain