KEHADIRAN cahaya mata dianggap sebagai pelengkap dalam sesebuah perkahwinan. Namun, ramai pasangan di luar sana masih menanti zuriat meskipun telah bertahun-tahun mendirikan rumah tangga. Terbaharu, kisah seorang pejuang garis dua atau TTC (trying to conceive) turut meraih perhatian ramai netizen di TikTok. "Saya mencari anak angkat (newborn) atau yang tengah tunggu hari nak bersalin. Sebab saya dah kahwin enam tahun tapi masih belum dikurniakan zuriat. "Saya tak kisah anak tu sah taraf atau tak. Saya terima. Tentang saguhati atau syarat-syarat yang melampau, maaf saya tak mampu. "Saya betul-betul ikhlas. Harap ada yang bantu saya," luah wanita itu menerusi perkongsian yang meraih hampir 300,000 tontonan. Tip & petua Menjengah ke ruangan komen, ramai wanita termasuk bekas pejuang TTC turut berkongsi tip dan petua buat wanita itu. Seorang wanita menasihati pengadu agar menjaga tekanan mental yang dikatakan turut mempunyai kaitan dengan faktor kesuburan. Segelintir pasangan berdepan tekanan kerana gagal mendapat zuriat. -Gambar hiasan "Puan cuba amalkan ini. Jangan stres. Jangan fikir tentang nak zuriat. Kena relaks dan reda. Saya juga tujuh tahun tunggu untuk hamil. "Bila saya reda dan tak stres, Allah hadirkan juga zuriat dalam rahim saya. Doktor juga pesan jangan terlalu stres," ujarnya. Seorang lagi wanita turut berpesan agar pengadu mengamalkan surah Maryam, ayat pertama sehingga 11 setiap kali solat. Antara tip lain, netizen turut memberi saranan supaya wanita itu mendapatkan khidmat urutan kampung serta mengamalkan pemakanan tambahan. Selain itu, mereka turut meminta pengadu mengamalkan pemakanan sunah seperti madu. Untuk kesan yang dikatakan lebih mujarab, madu itu boleh diamalkan bersama susu kambing. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube