suria

Eksplorasi Merdeka @ Muzium 2024 cipta sejarah! Dimeriahkan 1,200 peserta, program upayakan potensi guru tingkat minat murid dalam PdP

Program Eksplorasi Merdeka @ Muzium 2024 disertai lebih 1,000 murid.

PROGRAM Eksplorasi Merdeka @Muzium 2024 berlangsung dengan meriah, yang menyaksikan amalan gaya hidup sihat dan aktif diterapkan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bertempat di Muzium Negara dan Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur, program unik ini menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi penglibatan 400 sekolah dari tujuh negeri dengan penyertaan keseluruhan 1,200 murid.

Aktiviti tersebut merupakan langkah praktikal untuk mengurangkan risiko penyakit kronik, obesiti dan lain-lain dalam kalangan guru dan murid serta memupuk semangat patriotisme bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan pada bulan Ogos.

Kah Woh turut melakukan aktiviti senam tari bersama murid-murid.

Kah Woh turut melakukan aktiviti senam tari bersama murid-murid.

Program ini dianjurkan oleh Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia (JMM) yang dinaungi Kementerian Perpaduan Negara.

Diadakan sempena sambutan bulan kemerdekaan pada Khamis, ia dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh pada sebelah pagi, manakala majlis penutup pada sebelah petang dirasmikan Timbalan Menteri Perpaduan, Senator Saraswathy Kandasami.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran JPWPKL, Abdul Aziz Hashim berkata, program yang diadakan bertujuan untuk mengupayakan potensi guru-guru dalam menghasilkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang kreatif, inovatif dan bermakna berdasarkan elemen merentas kurikulum (EMK) bagi meningkatkan minat murid terhadap PdP.

Banyak aktiviti menarik memeriahkan Program Eksplorasi Merdeka @ Muzium 2024.

Banyak aktiviti menarik memeriahkan Program Eksplorasi Merdeka @ Muzium 2024.

"Program ini adalah salah satu usaha untuk mendidik generasi muda, khususnya murid untuk mengenali dan menghargai serta memelihara produk warisan dunia yang berada di negeri mereka.

"Perkara ini selaras dengan hasrat KPM mengutamakan Pendidikan Manusiawi dan Pembangunan Karakter yang menerapkan nilai murni dalam diri murid bagi menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat, selain mengukuhkan keharmonian sosial dan melahirkan generasi yang mempunyai empati tinggi serta cintakan keamanan," katanya.

Menurut Abdul Aziz, program pada tahun ini menampilkan kelainan tersendiri, malah ia turut mendapat kerjasama agensi-agensi luar.

Antara momen menarik sepanjang Eksplorasi Merdeka  @ Muzium 2024 berlangsung.

Antara momen menarik sepanjang Eksplorasi Merdeka @ Muzium 2024 berlangsung.

Jelas beliau, antara kelainan yang dibawa pada tahun ini adalah tema yang dipilih, iaitu Kerjaya Impian yang mana peserta perlu berpakaian lengkap kerjaya impian mereka.

"Selain itu, terdapat penambahan dalam pengisian program yang melibatkan pengisian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Bahasa Inggeris yang bertepatan dengan dasar KPM.

"Beberapa agensi luar dijemput untuk mengadakan pameran yang bertujuan memberi peluang kepada pihak berkepentingan khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bekerjasama membentuk persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan kepada murid dan guru," ujarnya.

Murid-murid menyertai aktiviti eksplorasi dengan berpakaian kerjaya impian mereka.

Murid-murid menyertai aktiviti eksplorasi dengan berpakaian kerjaya impian mereka.

Menerusi kerjasama dengan Muzium Negara, Abdul Aziz berharap program ini dapat memberi pendedahan secara langsung buat guru dan murid kepada sumber pendidikan yang terdapat di muzium

"Eksplorasi ini diharapkan dapat merangsang minat murid terhadap pembelajaran khususnya mata pelajaran Sejarah, iaitu mata pelajaran yang wajib lulus untuk mendapat sijil bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Saya juga berharap agar hubungan ini tidak hanya berhenti di sini bahkan lebih banyak sesi libat urus yang lain khususnya dalam aspek memupuk nilai-nilai positif dalam diri anak didik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Program ini diharapkan menjadi titik tolak kepada JPWPKL dan JMM untuk terus berkolaboratif bagi melestarikan pendidikan yang berkualiti kepada anak bangsa demi memakmurkan negara kita Malaysia yang tercinta ini," katanya lagi.

Program yang diadakan di Muzium Negara dan Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur berlangsung dengan meriah.

Program yang diadakan di Muzium Negara dan Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur berlangsung dengan meriah.

Sementara itu, Pengarah Muzium Negara, Zamrul Amri Zakaria berkata, kejayaan penganjuran tahun lalu memberi cetusan idea untuk meneruskan program sama pada tahun ini.

"Program Eksplorasi Merdeka @ Muzium merupakan sinergi rentas jabatan yang diadakan buat kali kedua antara JPWPKL dan JMM menerusi Muzium Negara.

"Susulan kejayaan program pertama yang diadakan sebelum ini, kami di Muzium Negara amat berbesar hati untuk meneruskan kerjasama bagi menjayakan program ini pada 2024," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain