suria

Teruja sambut kelahiran cahaya pertama, mak ayah jangan lupa daftar anak! Ini senarai semak dokumen perlu dibawa ke JPN

Pendaftaran kelahiran perlu dilakukan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kelahiran. -Gambar hiasan

PERTAMA kali menimang cahaya mata pastinya mengujakan sesiapa sahaja.

Selain membuat persiapan bersalin dan menyediakan barang keperluan si manja, anda yang pertama kali bergelar ibu bapa perlu tahu cara untuk mendaftarkan anak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pendaftaran adalah percuma dan perlu dilakukan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kelahiran.

Kelewatan daripada tempoh tersebut akan menyebabkan anda didenda, selain merumitkan proses kelulusan.

Ini cara untuk mendaftar dan mengesahkan kelahiran anak di Malaysia seperti perkongsian Hai Momy di laman TikTok.

1. Bawa surat doktor yang diserahkan semasa proses discaj

Selepas isteri keluar hospital, doktor bertugas akan memberi satu surat yang bertajuk Urusan Seri Paduka Baginda.

Jadi, bawalah surat tersebut ke Jabatan Pendaftaran Negara berhampiran anda untuk proses pendaftaran kelahiran.

Pelbagai persiapan perlu dilakukan selepas kelahiran cahaya mata. -Gambar hiasan

Pelbagai persiapan perlu dilakukan selepas kelahiran cahaya mata. -Gambar hiasan

2. Dokumen penting yang perlu dibawa

Mereka yang pertama kali melakukan pendaftaran kelahiran selalu tercicir dokumen atau mengalami masalah dokumen tidak lengkap.

Oleh itu, sebelum bergerak ke JPN, pastikan borang pendaftaran kelahiran, borang pengesahan kelahiran (asal), dokumen pengenalan diri ibu dan ayah (asal dan salinan), sijil nikah (asal dan salinan) bersama buku ibu hamil atau buku pink (asal dan salinan).

3. Dapatkan nombor giliran di kaunter

Dalam tempoh ini, anda boleh lengkapkan dokumen berkaitan kelahiran dan mengisi nama pilihan untuk si manja.

Kemudian tunggu nombor giliran anda dipanggil dan pastikan butiran di dalam dokumen permohonan tersebut betul.

4. Proses pendaftaran siap

Kebiasaannya proses pendaftaran kelahiran siap dalam tempoh 10 minit sekiranya segala dokumen penting lengkap.

Selepas menerima surat beranak si manja, pasti anda akan diselubungi rasa terharu.

Paling penting, anda perlu melakukan pendaftaran dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kelahiran kerana kelewatan akan merumitkan proses kelulusan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain