RAMAI beranggapan masalah juling adalah berpunca daripada penggunaan gajet secara berlebihan semata-mata. Namun hakikatnya, terdapat sebilangan individu yang mengalaminya sejak lahir. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mereka yang juling sejak lahir cenderung untuk mengalami penglihatan tiga dimensi dan lazy eye atau ambliopia sekiranya tidak mendapatkan rawatan awal. Bukan itu sahaja, juling yang berlarutan boleh menyebabkan seseorang itu berasa kurang yakin dan menjadi mangsa buli secara emosi. Justeru, anda yang mengalaminya dianjurkan untuk mendapatkan rawatan sama ada melalui penggunaan cermin mata mahupun pembedahan. Rawatan awal akan memberikan penglihatan dan kesan yang baik untuk emosi serta keyakinan diri. Juling adalah keadaan di mana kedua-dua mata tidak berada dalam keadaan selari apabila melihat ke arah sesuatu objek. Selain dikesan sejak lahir, mata juling boleh disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk otot mata yang lemah, kecederaan dan rabun kronik. Masalah juling boleh meyebabkan seseorang itu kurang yakin diri. Terdapat empat jenis masalah juling iaitu: 1. Esotropia Kebiasaannya mereka yang mengalami situasi juling ini sering digelar juling itik kerana kornea mata masuk ke dalam atau menghampiri hidung. 2. Eksotropia Juling jenis ini pula berlawanan dengan esotropia kerana kondisi bebola mata melihat ke luar. 3. Hipertropia Tidak ramai yang mengalami keadaan juling dengan kornea mata memandang ke bahagian atas. Hipertropia akan membuatkan penglihatan seseorang menjadi kabur selain menyebabkan penglihatan berganda. 4. Hipotropia Juling dengan keadaan mata ke bawah boleh berlaku atas beberapa faktor. Namun ia juga boleh dirawat sekiranya dikesan lebih awal. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube