KEADAAN kanak-kanak diserang sawan sememangnya menakutkan sesiapa sahaja. Ibu bapa yang pertama kali berhadapan situasi tersebut pastinya berasa panik dan risau melihat anak yang tiba-tiba rebah ke lantai seterusnya 'mengelupur' diikuti mulut berbuih. Paling membimbangkan apabila anda tidak tahu cara terbaik untuk membantu anak yang diserang sawan kerana ia akan memberikan kesan jangka panjang. Oleh itu sebagai ibu bapa, anda perlu cakna tentang cara rawatan segera yang boleh dilakukan kepada anak diserang sawan. Ini lapan teknik penting yang boleh dilakukan seperti perkongsian pakar kesihatan yang juga pempengaruh, Dr Ahmad Samhan Awang di laman X. 1. Jangan panik dan jauhkan pesakit sawan daripada apa-apa objek berbahaya seperti gunting, air panas dan sebagainya. 2. Pusingkan badan kanak-kanak tersebut ke kedudukan mengiring (recovery position) selagi sawan masih terjadi. Ia bagi mengelakkan kanak-kanak tersebut tersedak sama ada cairan susu atau muntah dari perut ke salur pernafasan. Sebilangan kanak-kanak yang diserang sawan akan mengalami masalah kesihatan jangka panjang. 3. Jangan halang gerakan tangan dan kaki yang sawan sebaliknya pegang dengan lembut untuk mengekalkan posisi mengiring. 4. Elakkan meletak sudu atau sebarang objek ke dalam mulut kerana ia akan menyebabkan pesakit sawan tercekik. 5. Perhatikan pattern sawan dan tempoh berlaku. 6. Longgarkan atau buka baju yang dipakai pesakit sehingga tinggal lampin pakai buang. 7. Ambilkan tuala dan air suam, kemudian lap seluruh badan kanak-kanak tersebut sehingga ia kering sendiri. Ia membolehkan haba daripada badan keluar dengan berkesan seterusnya menurunkan demam. Pada masa sama, biarkan kipas berpusing bagi membantu air tersejat ke udara dengan lebih pantas. 8. Setelah sawan terhenti, bawa kanak-kanak terbabit ke Jabatan Kecemasan dengan segera, jika berterusan panggil 999 untuk bantuan ambulans. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube