suria

KLIA 2024 sarat aktiviti menarik, ruang advokasi intervensi awal… Ibu bapa diberi kesedaran urus, serlah potensi anak autisme

Fadhlina bersama sekumpulan kanak-kanak yang menyertai KLIA 2024

MEMPUNYAI anak berkeperluan khas seperti autisme bukan suatu perkara yang mudah bagi ibu bapa dalam membesarkan anak-anak mereka.

Malah, segelintir mereka juga mengakui berhadapan dengan masalah dan kesukaran tentang cara mendidik anak istimewa yang sebenar.

Menyedari perkara itu, Pusat PERMATA Kurnia (PPK) di bawah Bahagian PERMATA, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menganjurkan Karnival Lestari Intervensi Awal 2024 (KLIA 2024) di pusat beli belah AEON Alpha Angle, Wangsa Maju di Kuala Lumpur.

Bertemakan 'Masyarakat MADANI Memperkasa Kelestarian Intervensi Awal', Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, karnival yang berlangsung selama dua hari pada 19 dan 20 Oktober lalu bertujuan untuk menangani isu-isu intervensi awal kanak-kanak berkeperluan khas.

Fadhlina (empat, kiri) merasmikan KLIA 2024 yang julung kali diadakan

Fadhlina (empat, kiri) merasmikan KLIA 2024 yang julung kali diadakan

Jelas beliau, program lestari intervensi awal itu turut mengetengahkan kepakaran dan menyaksikan penglibatan masyarakat.

Pelbagai aktiviti disediakan untuk para peserta yang terdiri daripada murid berkeperluan khas (MBK) dan ibu bapa serta pengunjung seperti digital painting, coffee talk, mencanting batik dan rock painting.

Selain itu, KLIA 2024 juga dimeriahkan lagi dengan program walkathon, zumba, giant bubble dan face painting di samping coffee talk 2, sand art serta fan painting.

Ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas pastinya ingin mengetahui lebih lanjut tentang Karnival Lestari Intervensi Awal 2024 (KLIA 2024) ini.

Berikut adalah lima fokus utama yang diterapkan KPM sepanjang penganjuran KLIA 2024, bagi memastikan semua murid mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti.

Kanak-kanak terlibat bebas mengekspresikan diri mereka

Kanak-kanak terlibat bebas mengekspresikan diri mereka

1. Advokasi tentang intervensi awal MBK

Penganjuran KLIA 2024 ini membuka peluang dan ruang kepada orang awam mahupun masyarakat untuk lebih cakna tentang intervensi awal bagi murid berkeperluan khas.

Bukan sekadar itu, ibu bapa dan orang awam turut diberikan input serta perkhidmatan sokongan dalam merancang hala tuju golongan sasar berkenaan.

Pada masa sama, masyarakat boleh mendapatkan pelbagai informasi mengenai perkhidmatan intervensi awal yang ditawarkan di Pusat PERMATA Kurnia mahupun Kementerian Pendidikan.

2. Serlah potensi, kebolehan kanak-kanak autisme

KLIA 2024 berhasrat menjadi platform yang dapat menghubungkan masyarakat umum dengan kaedah intervensi awal autisme bagi menyerlah potensi dan kebolehan kanak-kanak autisme.

Ia sekali gus membolehkan kanak-kanak terlibat menonjolkan bakat dan potensi diri di samping memberi gambaran positif kepada ibu bapa serta komuniti bahawa individu berkeperluan khas juga mampu menyumbang kembali kepada masyarakat menerusi kemahiran yang mereka ada.

Malah, semakin ramai murid MBK dilihat terlibat dalam industri serta bekerjaya dengan menggunakan kemahiran masing-masing yang digilap dan diasah sejak kecil.

Ibu bapa juga tidak perlu bimbang tentang masa depan golongan sasar ini, sebaliknya memberikan sokongan dan motivasi untuk mereka mencapai kejayaan.

Anak-anak daripada Pusat PERMATA Negara turut hadir ke karnival ini

Anak-anak daripada Pusat Anak PERMATA Negara Seri Semarak, KL turut hadir ke karnival ini.

3. Tingkat keterlihatan (visibility) intervensi awal

Penganjuran KLIA 2024 membantu kesediaan pendidikan inklusif dalam konteks MADANI, selain memberi peluang kepada mereka menyerlahkan bakat dan potensi diri ke arah kemenjadian MBK.

Maklumlah kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa ini lebih cenderung untuk berasa bimbang tentang masa depan dan kemandirian golongan sasar.

Selain itu, tidak kurang juga ada yang beranggapan bahawa kanak-kanak autisme memerlukan sokongan sepanjang hayat.

Justeru, karnival ini mendedahkan ibu bapa dan orang awam tentang potensi dan keupayaan golongan sasar sekiranya mereka diberikan intervensi awal serta pendidikan selaras kemampuan diri.

4. Saringan sensori dan konsultasi

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil, pastinya ingin mengetahui tahap perkembangan si manja terutama berkaitan profil sensori.

Mendapatkan pandangan dan teknik menerusi perkongsian pakar di media sosial semata-mata mungkin tidak mencukupi, lebih-lebih lagi aktiviti sokongan yang dilakukan di rumah tanpa bimbingan pihak bertauliah.

Oleh itu, KLIA 2024 menyediakan konsultasi daripada ahli terapi cara kerja yang berpengalaman dan pakar dalam bidang pendidikan murid berkeperluan khas.

Penganjuran ini membolehkan ibu bapa mengetahui teknik dan keperluan awal untuk membantu perkembangan anak-anak istimewa demi masa depan yang lebih baik.

Pada masa sama, mereka dapat memilih hala tuju yang bersesuaian dengan anak berkeperluan khas ini.

Pelbagai pameran dan reruai memeriahkan KLIA 2024

Pelbagai pameran dan reruai memeriahkan KLIA 2024

5. Pameran, reruai KLIA 2024

Selain pelbagai aktiviti menarik yang disediakan khusus untuk ibu bapa dan kanak-kanak autisme, pengunjung yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan murid berkeperluan khas.

Pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai informasi berkaitan intervensi awal, fakta dan auta mengenai kanak-kanak autisme di samping perkhidmatan-perkhidmatan khas kepada individu berkeperluan khas.

Maklumat yang disajikan merupakan perkongsian daripada pakar-pakar bertauliah yang membantu ibu bapa mendidik dan melihat tahap perkembangan anak-anak istimewa mereka.

Meskipun karnival hanya berlangsung selama dua hari, namun sasaran advokasi berkenaan intervensi awal berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan.

Fadhlina mahu masyarakat mengetahui tugas dan peranan guru MBK

Fadhlina mahu masyarakat mengetahui tugas dan peranan guru MBK

Ia sejajar dengan hasrat Menteri Pendidikan yang mahu berkongsi maklumat dan kepakaran kepada masyarakat mengenai kaedah mendidik murid berkeperluan khas.

“Kita berkongsi maklumat, kepakaran dan apa yang dilaksanakan ini didedahkan kepada umum khususnya ibu bapa yang hadir.

“(Mereka) dapat melihat bagaimana kita melaksanakan tugas-tugas harian kita dan saya fikir, tidak mudah untuk menguruskan satu segmen bersama kanak-kanak ini.

“Cikgu yang berpeluh berbanding anak murid, namun itulah hakikatnya,” ujar Fadhlina dalam ucapan perasmian di Karnival Intervensi Awal 2024.

Malah kata beliau, dalam usaha untuk memacu tugas intervensi awal, setiap guru dan petugas terlibat perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi.

“Bagi berhadapan dengan kanak-kanak ini setiap hari... tidak mungkin melainkan (guru-guru) mempunyai kesabaran dan kualiti yang sentiasa diterapkan dalam latihan perguruan,” tambahnya.

Kanak-kanak membuat persembahan semasa pelancaran KLIA 2024

Kanak-kanak membuat persembahan semasa pelancaran KLIA 2024

Dalam pada itu, Fadhlina berharap agar program Karnival Lestari Intervensi Awal 2024 dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa khususnya untuk membina keyakinan, kepercayaan, dan mengukuhkan lagi sisi pendidikan manusiawi serta pendidikan berkeperluan khas kanak-kanak di bawah pendidikan Malaysia.

Penganjuran KLIA 2024 juga seiring dengan seruan kerajaan untuk memastikan kebajikan serta pendidikan anak-anak autistik berada pada tahap terbaik.

Program yang julung kali diadakan ini turut disertai keluarga kanak-kanak Pusat PERMATA Kurnia, komuniti setempat, komuniti autisme dan murid-murid sekolah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain