PELBAGAI jenis produk wangian rumah pernah digunakan, tapi semuanya bertahan untuk sementara waktu sahaja. Kos perbelanjaan untuk mengekalkan wangian pula mahal. Menerusi satu hantaran di TikTok, Azlina Mat Lazim berkongsi petua untuk memastikan rumah kekal wangi tanpa mengeluarkan belanja yang tinggi. Mereka yang ingin berjimat tapi mahu memastikan rumah kekal harum sentiasa bolehlah menanam pokok bunga Ganda Suli di sekeliling kediaman. Ini kerana tanaman tersebut mengeluarkan aroma yang sangat wangi dan harum. Paling menarik, bunganya yang berwarna putih dan tumbuh renek sangat sesuai untuk mencantikkan landskap rumah. Pada masa sama, anda boleh memanfaatkan bunga dan daunnya untuk dijadikan ramuan mandian seterusnya menaikkan aura seri wajah. Ubinya juga memberi manfaat kepada kesihatan kerana dijadikan salah satu remedi dalam perubatan tradisional termasuk menghentikan pendarahan dalaman bagi wanita keguguran atau mengalami haid tidak teratur. Ini lima fakta menarik tentang Ganda Suli. 1. Merupakan tumbuhan herba yang mengandungi khasiat perubatan. 2. Pokok ini berasal dari India Timur Laut sehingga ke pantai Timur China. 3. Bunganya berbentuk seperti kupu-kupu dengan bibir berwarna kuning dan berbau harum seperti cempaka. 4. Buahnya adalah berbentuk lenggai berwarna jingga terang, pecah setelah matang, dan mengeluarkan benih berwarna merah. 5. Pokok ini sesuai ditanam di tempat yang mendapat sinaran matahari penuh, subur dan bersaliran baik. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube