KEBANYAKAN masyarakat beranggapan 'kemanisan' dalam buah tidak akan meningkatkan paras gula dalam darah. Malah ada yang mengkategorikannya sebagai gula 'baik' dan bukan punca masalah kesihatan. Namun tahukah anda, sebenarnya kandungan gula di dalam buah adalah sama dengan gula putih mahupun perang. Perkara tersebut dijelaskan menerusi laman TikTok pegawai kesihatan di Klinik Kesihatan Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang, Dr Mohd Qarafi Mohd Ridhuan Tee. "Ada seorang pesakit diabetes yang dinasihatkan supaya menjaga pengambilan gula, dia (kemudiannya) menukar (gula) kepada buah-buahan. "Mungkin dalam fikiran dia... gula buah tak akan jadi masalah kalau makan banyak-banyak. "Jadi dia pun kisarlah buah epal bersama saderi kerana beranggapan jus itu boleh membantu menghilangkan craving gula," katanya. Mereka yang menghidap diabetes perlu membuat pemeriksaan gula secara berkala. Menurut Dr Mohd Qarafi, individu terbabit juga mengamalkan minuman berkenaan setiap hari sehinggalah pemeriksaan lanjut dilakukan beberapa bulan kemudian. Apa yang mengejutkan, bacaan hemoglobin terglikasi atau HBA1C sudah menjadi 10 walhal paras normal adalah 5.7. "Fiber yang terkandung di dalam buah akan hancur apabila dikisar dan yang tinggal adalah gula. "Sama ada ambil gula dalam bentuk serbuk, gula putih atau gula yang diperoleh daripada buah... ia tetap gula. "Apabila masuk ke dalam badan penghidap kencing manis atau orang normal, ia tetap akan menyebabkan paras gula dalam darah naik," jelasnya. Susulan daripada itu, Dr Mohd Qarafi menasihati penghidap kencing manis supaya mengawal pengambilan gula termasuk buah-buahan yang dikisar. Mereka yang sedang diet juga disarankan untuk menjaga pemakanan termasuk pengambilan buah-buahan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube