suria

Risau anak bantut gara-gara tak cukup nutrisi? Ini 5 jenis makanan baik untuk si manja, mama papa kena ambil tahu

Makanan bernutrisi dapat membantu tumbesaran kanak-kanak.

SEDAR atau tidak, kebanyakan kanak-kanak masa kini bersaiz kecil dan rendah.

Ada yang mengaitkannya keadaan itu dengan faktor genetik.

Namun sebenarnya, pemakanan dan faktor persekitaran memainkan peranan penting dalam mempengaruhi tumbesaran kanak-kanak.

Jika anda bersaiz kecil tetapi mahukan anak menjadi tinggi, apa kata ikuti tip yang dikongsikan Mbaby Shop di laman TikTok.

Paling penting, mulakan sejak usia anak masih bayi atau digelar 1,000 hari pertama kehidupan.

Ini lima pemakanan yang dapat membantu menambahkah ketinggian.

Yogurt antara produk tenusu yang baik untuk kesihatan.

Yogurt antara produk tenusu yang baik untuk kesihatan.

1. Ubi keledek

Rasanya yang manis, membuatkan ubi keledek sering dijadikan sajian pencuci mulut.

Selain membuka selera, ubi keledek kaya dengan vitamin A yang bagus untuk kesihatan tulang.

Malah pelbagai manfaat lain terkandung di dalamnya termasuk membekalkan tenaga dengan segera.

Jadi, kerapkan masak makanan berasaskan ubi keledek ya.

2. Tenusu

Tidak dinafikan, produk tenusu termasuklah keju dan yogurt memberi kebaikan dalam tumbesaran bayi serta kanak-kanak.

Malah ia sinonim dengan kesihatan tulang kerana kandungan kalsium dan vitamin D yang tinggi.

Warga emas juga perlu mengamalkannya supaya dapat mencegah masalah tulang rapuh atau osteoporosis.

3. Kacang almond

Ada yang menggelarnya sebagai kacang cerdik kerana membantu menguatkan daya ingatan, fungsi kognitif dan perkembangan otak.

Kacang almond tinggi dengan magnesium dan kalsium.

Paling penting, kacang ini boleh dijadikan kudapan harian anak anda berbanding jajan dan snek yang tinggi kandungan gula, garam mahupun MSG.

Ikan salmon tinggi kandungan nutrisi yang baik untuk perkembangan kanak-kanak.

Ikan salmon tinggi kandungan nutrisi yang baik untuk perkembangan kanak-kanak.

4. Sayuran hijau

Sayuran hijau dikaitkan dengan kandungan fiber dan serat yang tinggi selain mengandungi pelbagai nutrisi lain.

Pastikan anak anda mendapatkan sayuran yang banyak setiap hari untuk kelangsungan fungsi tubuh yang optimum.

5. Ikan

Ikan salmon terkenal dengan kandungan DHA yang sesuai untuk bayi kerana membantu menguatkan sistem imun tubuh.

Terdapat juga kajian yang menyatakan kanak-kanak yang mengamalkan pengambilannya setiap hari akan memiliki daya tahan lebih kuat berbanding yang lain.

Nutrisi lain yang terkandung di dalamnya adalah asid lemak omega-3, vitamin B6 dan B12.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain