suria

Ruang digital lebih selamat... MCMC tegas tangani jenayah pengantunan, pedofilia dalam kalangan kanak-kanak

Jenayah pedofilia dan pengantunan kanak-kanak (sexual grooming) khususnya di platform media sosial membimbangkan semua pihak. -Gambar hiasan

KESELAMATAN kanak-kanak dalam menggunakan internet adalah isu yang semakin penting dalam era digital masa kini.

Seiring kemajuan teknologi, internet menjadi sumber maklumat dan hiburan yang luas, namun terdapat juga ancaman yang boleh membahayakan keselamatan kanak-kanak.

Antara ancaman semakin membimbangkan adalah peningkatan kes membabitkan seksual kanak-kanak termasuk pedofilia dan pengantunan, selain buli siber dan penipuan yang berlaku tanpa sekatan.

Justeru, isu keselamatan di media sosial terutama membabitkan pengguna kanak-kanak dan keluarga yang semakin berleluasa tidak boleh dikompromi.

Ibu bapa, guru dan masyarakat perlu mengambil langkah-langkah proaktif untuk melindungi kanak-kanak daripada risiko dalam talian.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kawal selia media sosial yang ketat perlu ditekankan agar keselamatan pengguna, khususnya golongan sasaran dapat diberi keutamaan.

Katanya, usaha itu melibatkan keperluan pelesenan untuk platform digital yang beroperasi di negara ini mematuhi garis panduan keselamatan tertentu serta undang-undang baharu seperti Akta Keselamatan Dalam Talian dijadualkan bakal berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.

“Langkah ini perlu diambil dengan segera bagi memastikan ruang digital membabitkan khususnya pengguna kanak-kanak dan pengguna lain daripada ancaman berbahaya.

Fahmi menegaskan kementerian memandang serius soal keselamatan penggunaan internet. Foto Izzrafiq Alias

Fahmi menegaskan kementerian memandang serius soal keselamatan penggunaan internet. Foto Izzrafiq Alias

“Keselamatan rakyat tidak boleh ditangguhkan demi kemudahan.

“Ketika platform media sosial membentuk dunia digital baharu, adalah penting untuk mereka menggalas tanggungjawab yang datang bersama pengaruh dan capaian mereka,” katanya dalam satu kenyataan media.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi kenyataan pada 27 Julai lalu berkata, kegagalan mana-mana perkhidmatan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa itu adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil mengikut Akta 588.

Menurut akta tersebut, setiap platform media sosial perlu memenuhi piawaian keselamatan tertentu yang telah ditetapkan.

Platform yang gagal mematuhi syarat itu mungkin akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 126 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, MCMC di bawah Kementerian Komunikasi akan melakukan pemantuan dari semasa ke semasa dan bertindak tegas serta proaktif dalam menangani jenayah pengantunan, pedofilia dalam kalangan kanak-kanak

Jelas Fahmi, komitmen kerajaan dalam mengawal selia platform ini adalah langkah yang proaktif dan perlu bagi memastikan kanak-kanak dan semua pengguna boleh melayari dunia maya dengan selamat.

Untitled design - 1

Penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak perlu dipantau dan diperketatkan bagi menjamin keselamatan mereka.

Ujarnya, kanak-kanak generasi kini seringkali terdedah kepada pelbagai ancaman siber seperti penipuan, buli siber, eksploitasi, dan pemangsaan seksual.

“Lanskap digital terbuka dan tidak terkawal kini menjadi risiko besar dan platform-platform besar seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp kerap dikaitkan dengan isu-isu berkenaan.

“Di Facebook, misalnya, terdapat laporan mengenai rangkaian pemangsa yang membentuk kumpulan tertutup dan melakukan pengantunan (sexual grooming) terhadap kanak-kanak serta berkongsi kandungan yang tidak bermoral,” katanya.

Beliau menegaskan tindakan penyedia platform memohon lebih masa seolah-olah memberi lebih banyak masa kepada pedofilia membuat jenayah.

Sesiapa sahaja berisiko menjadi mangsa penipuan internet.

Sesiapa sahaja berisiko menjadi mangsa penipuan internet.

Katanya, pada masa sama peningkatan pengguna dalam talian menyebabkan semakin ramai masyarakat terdedah kepada risiko menjadi mangsa jenayah.

“Walaupun sudah lama diberi amaran, pihak Meta meminta lebih masa untuk mengatasi kandungan berbahaya dan aktiviti jenayah dalam rangkaiannya.

“Penyedia platform juga perlu bertanggungjawab memastikan platform mereka selamat dan tidak menjadi pusat jenayah.

“Sehubungan itu, kerajaan sedang menggariskan langkah untuk memastikan platform dalam talian selamat untuk semua termasuk perlesenan dan pembayaran bil secara selamat di dalam talian,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube