TIDAK kisah lelaki atau wanita, pasti ramai yang takut menggoreng di dapur kerana risau terpercik minyak panas. Sungguh pedih, malah kulit boleh menjadi luka-luka sekiranya perkara yang digeruni ini berlaku. Melalui satu perkongsian di laman TikTok, seorang tukang masak dikenali sebagai Pak Man tampil berkongsi cara untuk mengurangkan letupan minyak ketika aktiviti menggoreng. "Petua ini sesuai untuk goreng ikan keli atau sebarang jenis ikan yang lain," ujar Pak Man. Ayuh kita lihat bagaimana caranya. Kelar kulit ikan sebelum mula menggoreng. 1) Asam keping Sebelum mula menggoreng, panaskan minyak, seterusnya masukkan asam keping dan biarkan ia di dalam minyak untuk seketika. Kemudian boleh goreng ikan seperti biasa. Asam keping tersebut juga boleh membantu menjadikan ikan yang digoreng lebih rangup. 2) Tepung jagung Selain itu, boleh juga letakkan satu sudu tepung jagung ke dalam minyak yang sudah panas, selepas itu baru mula menggoreng ikan. 3) Kelar kulit ikan Ketika proses memerap atau melumur ikan, kelar kulitnya dengan menggunakan pisau sehingga ada beberapa jalur atau garisan. Seterusnya boleh goreng ikan seperti biasa. 4) Limau nipis Ini petua yang mendapat sambutan paling meriah daripada warga maya, dikatakan efektif keberkesanannya. Caranya, selepas ikan selesai disiang, rendamkan ia ke dalam air dengan perahan limau nipis yang banyak. Pada waktu sama, sapukan limau nipis itu pada kulit ikan untuk membuang lendiran. Proses menggoreng pasti menjadi lebih mudah, tiada minyak meletup dan ikan tidak melekat pada kuali. Selamat mencuba dan semoga bermanfaat! - Pak Man Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube