suria

5 makanan ini tak ganggu proses ‘cut sugar’, diet... Selesai masalah ‘craving’ makan manis

Makanan yang tinggi gula boleh membinasakan diri. -Gambar hiasan

PROSES untuk mendapatkan tubuh yang sihat dan menurunkan berat badan bukannya mudah, banyak dugaan perlu ditempuhi.

Antaranya mengawal tabiat makan manisan yang sudah sebati dengan diri.

Melalui satu hantaran di laman Thread, seorang pempengaruh gaya hidup sihat dikenali sebagai Nur Adilla, tampil berkongsikan beberapa jenis makanan yang boleh mengurangkan rasa mengidam makan makanan yang manis-manis.

"Bagi sesiapa yang sedang berdiet, anda pasti pernah melalui fasa di mana tiba-tiba teringin makan benda manis macam coklat, kek atau aiskrim.

"Jangan mudah tewas, boleh cuba makanan ini untuk memulihkan craving anda," ujar Nur Adilla.

Coklat gelap mempunyai khasiat tersendiri. -Gambar hiasan

1) Coklat gelap (dark chocolate)

Pastikan coklat gelap atau dark chocolate yang dibeli anda mengandungi kandungan koko sebanyak 70 peratus dan ke atas.

Untuk pengetahuan anda, coklat gelap kaya dengan magnesium, ia boleh membantu menstabilkan kandungan gula di dalam darah dan mengurangkan rasa teringin.

Namun jangan pula dimakan coklat gelap ini secara berlebihan, ia akhirnya akan membawa mudarat juga, biarlah bersederhana.

2) Yogurt gaya Greek

Yogurt ini mengandungi protein dan probiotik (bakteria baik) yang boleh mengenyangkan perut.

Bagi mewujudkan rasa manis di dalam yogurt, boleh ditambahkan juga buah-buahan segar, pastikan bukan gula atau madu kerana ia akan menggagalkan misi diet anda.

3) Buah tamar

Kurma merupakan gula semula jadi yang sihat, ia kaya dengan serat yang boleh membantu untuk mengurangkan rasa lapar dan menghilangkan keinginan terhadap makanan atau minuman manis.

Sebagai peringatan, hanya makan kurma dalam kuantiti satu hingga dua biji sahaja sehari, jangan pula dihabiskan terus sebekas itu.

Ingat, walaupun makanan sihat, ia perlulah berpada-pada kerana setiap apa yang berlebihan pasti akan membawa mudarat.

Kacang pistcahio rangup dan enak. -Gambar hiasan

4) Kekacang

Antara jenis kekacang yang dicadangkan adalah badam, walnut dan pistachio.

Kekacang ini tinggi dengan kandungan protein dan mempunyai lemak sihat.

Ia turut menstabilkan kandungan gula di dalam darah serta membekalkan tenaga tanpa memerlukan pengambilan gula tambahan.

Dinasihatkan untuk makan kekacang yang tidak disalut dengan garam atau gula.

5) Buah-buahan segar

Amalkan untuk makan buah epal, beri dan pisang, semuanya kaya dengan gula semula jadi serta serat.

Kemanisan buah-buahan tidak mempunyai risiko untuk menaikkan berat badan, pada waktu sama mampu menghilangkan mengidam untuk makan benda manis.

Petua lain untuk mengurangkan selera makanan manis adalah kerap minum air kosong, ada kalanya kita teringin makan makanan manis kerana dehidrasi.

Selamat mencuba dan semoga bermanfaat! - Nur Adilla

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain