suria

Bagaimana pelajar, individu gaji kecil dan penganggur diperdaya jadi ‘keldai akaun’? Ini 5 cara elak kena scam

Penjenayah sentiasa mencari peluang untuk mengeksploitasi. -Gambar hiasan

PELBAGAI bentuk penipuan berleluasa di platform media sosial, sekiranya terpedaya, anda berada dalam bahaya!

Menerusi perkongsian oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), didedahkan modus operandi baharu oleh penjenayah yang mensasarkan golongan belia.

Dikenali sebagai 'keldai akaun', kaedah penipuan ini dikatakan menggunakan akaun bank milik orang awam untuk memindahkan dan menerima wang hasil kegiatan jenayah, bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

"Sumber wang itu terdiri daripada kegiatan jenayah seperti penipuan tawaran pekerjaan (job scam), penipuan penyamaran (deepfake), penipuan cinta (love scam), penipuan melalui kumpulan sembang (group chat) dan penipuan pelaburan.

Maklumat peribadi yang sensitif harus dilindungi dengan rapi. -Gambar hiasan

"Penipu kebiasaannya menggunakan laman media sosial seperti Facebook untuk mencari individu yang berminat 'menyewakan' akaun bank mereka dengan bayaran tertentu.

"Golongan yang terdesak memerlukan wang cenderung untuk terpedaya dengan tawaran ini, selalunya pelajar berusia antara 21 hingga 30 tahun, atau kumpulan berpendapatan rendah termasuk penganggur," jelas SC.

SC seterusnya menjelaskan peranan keldai akaun dalam rantaian kegiatan jenayah.

"Mangsa yang ditipu, misalnya oleh love scam, akan diminta untuk memasukkan wang ke dalam keldai akaun yang disediakan, wang terbabit kemudiannya dipindahkan ke keldai akaun yang lain atau dikeluarkan terus secara tunai.

ARTIKEL BERKAITAN: Labur RM100 boleh dapat RM100,000! Doktor ini ajar cara selamat nak kaya, elak jadi mangsa scammer Telegram

"Lapisan demi lapisan ini menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan pergerakan wang mangsa hingga ke akar umbinya, bermaksud mangsa mempunyai harapan tipis untuk mendapatkan semula wang yang dilaburkan.

"Dalam kebanyakan kes, pemegang 'keldai akaun' tidak menyedari aktiviti haram yang dijalankan ke atas akaun banknya serta tindakan undang-undang yang mereka bakal hadapi.

"Namun ada juga sesetengah individu yang menyedari tentang aktiviti haram tersebut tetapi masih bersetuju kerana mahu mendapatkan wang yang ditawarkan," terang SC.

Untuk makluman, pemegang keldai akaun boleh didakwa di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan wang haram.

Pemegang keldai akaun masih boleh dijatuhi hukuman walaupun tidak terlibat secara langsung dengan apa jua yang 'penyewa' lakukan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

"Sekiranya disabit kesalahan, pemegang keldai akaun boleh dihukum penjara hingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

"Pemegang keldai akaun masih boleh dijatuhi hukuman walaupun tidak terlibat secara langsung dengan apa jua yang 'penyewa' lakukan.

"Antara kesan buruk yang lain, pihak bank akan menutup keldai akaun tersebut dan tidak membenarkan pemilik untuk membuka akaun baharu.

"Ini sekali gus menyukarkan pemilik untuk mendapat pekerjaan atau menjalankan perniagaan yang memerlukan akaun bank," ujar SC.

Pemegang keldai akaun akan terjejas reputasinya dalam masyarakat. -Gambar hiasan

Berikut merupakan langkah berjaga-jaga yang boleh diambil untuk mengelakkan akaun bank anda daripada menjadi 'keldai akaun' :-

1) Jangan sesekali membenarkan akaun bank anda digunakan oleh orang lain, misalnya tawaran kerja menjanjikan pulangan cepat atau tinggi yang memerlukan anda mendedahkan maklumat perbankan seperti kata nama dan kata kunci.

2) Jangan berkongsi maklumat rahsia akaun atau membenarkan akaun anda digunakan.

3) Jangan benarkan akaun anda digunakan bagi menerima atau memindahkan dana sama ada dari atau ke akaun bank pihak ketiga.

4) Sentiasa memantau transaksi perbankan anda dan melaporkan kepada pihak bank jika terdapat sebarang transaksi yang mencurigakan.

5) Jangan sesekali berkongsikan maklumat rahsia perbankan anda seperti ID log masuk, kata laluan, no kunci (PIN) dan kata laluan One Time Password (OTP) kepada sesiapa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain