suria

Jangan ambil mudah kes lintah masuk faraj! Ini 4 risiko menanti jika main air banjir

Ibu bapa sewajarnya memantau keselamatan anak-anak ketika musim banjir. -Gambar hiasan

HANGAT di media sosial susulan pendedahan seorang doktor mengenai kisah pesakitnya yang mengalami pendarahan faraj akibat lintah, gara-gara bermain air banjir.

Apa yang mengejutkan, mangsa merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun empat bulan.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik di TikTok, doktor dari Klinik Safwa Pasir Tumboh, Kelantan itu berkata, kanak-kanak tersebut dibawa ke bahagian kecemasan oleh ibu bapanya kerana mengalami pendarahan berterusan.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan seronok main air banjir, ini 4 risiko yang mungkin berlaku termasuk renjatan elektrik

"Dalam sehari, dua hingga ke empat kali tukar lampin sebab pendarahan.

"Bila periksa, tiada apa yang luka atau cedera. Sekali doktor kecemasan buat scan di bahagian pundi kencingnya ternampak benda bergerak-gerak.

"Ya Allah memang betul lintah dah masuk sampai situ," katanya.

banjir 3

Air banjir yang kotor akan mengundang risiko penyakit. -Gambar hiasan

Tambah doktor itu lagi, kejadian tersebut berlaku disebabkan mangsa dibiarkan bermain air banjir tanpa memakai lampin pakai buang.

Kejadian tersebut sewajarnya dijadikan pengajaran buat para ibu bapa agar membuka mata dan tidak sewenang-wenangnya membiarkan anak-anak bermain air banjir.

Seperti yang kita sedia maklum, air banjir bukan hanya sekadar limpahan air sungai dan air hujan, malah ia mengandungi sisa kumbahan, dicemari bahan kimia dan bahan cemar lain.

Walaupun bermain air di musim banjir mungkin kelihatan seronok dan menggembirakan, adalah penting untuk memahami pelbagai risiko yang bakal menanti, antaranya:

1) Lemas

Apabila banjir melanda, arus air menjadi lebih deras dan tidak menentu. Arus yang deras boleh membawa mereka jauh dari lokasi asal, sekali gus terdedah kepada risiko lemas.

2) Risiko terkena jangkitan penyakit

Pendedahan kepada air yang tercemar boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti penyakit kulit, leptospirosis, konjunktivitis (jangkitan mata), hepatitis A dan sebagainya.

banjir 1

Kedalaman paras air dan arus deras boleh mengundang risiko lemas. -Gambar hiasan

3) Kecederaan

Kanak-kanak mungkin tidak menyedari kehadiran haiwan berbisa atau objek berbahaya di bawah permukaan air. Sebagai contoh, paku, serpihan kaca atau objek-objek lain.

4) Renjatan elektrik

Arus elektrik lebih mudah mengalir dalam air yang tercemar dengan pelbagai bahan kimia. Bahan kimia memudahkan pengaliran arus elektrik daripada wayar atau tiang elektrik yang basah.

Situasi ini boleh mengakibatkan kematian akibat renjatan elektrik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain