BERITA mengenai kisah pelakon dan model, Zahnita Wilson yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga benar-benar mengejutkan warga maya. Rata-ratanya meluahkan rasa terkejut bercampur simpati susulan pendedahan selebriti berkenaan, apatah lagi melihat kecederaan yang dialaminya. Kisah selebriti tersebut yang berani tampil ke depan, secara tidak langsung membuka mata segelintir individu yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga untuk melakukan perkara sama demi menuntut keadilan. ARTIKEL BERKAITAN: Zahnita dakwa jadi mangsa keganasan rumah tangga, mata lebam dipukul Namun begitu, masih ada mangsa yang kurang arif mengenai langkah-langkah yang wajar diambil, sekali gus membuatkan mereka teragak-agak dan akhirnya hanya mampu memendam kesengsaraan bersendirian. Dalam satu perkongsian di TikTok, seorang peguam syarie, Fatimah Majidah, berkongsi enam langkah tindakan yang perlu diambil oleh mangsa keganasan rumah tangga sebagai panduan bersama. Ada segelintir mangsa memilih untuk mengunci mulut dan memendam kerana takut kepada ugutan pasangannya. -Gambar hiasan Tindakan yang perlu diambil sekiranya seseorang menjadi mangsa keganasan rumah tangga: 1) Ambil gambar kecederaan 2) Buat laporan polis 3) Dapatkan rawatan dan laporan perubatan dari hospital atau klinik 4) Dapatkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) atau Perintah Perlindungan Sementara (IPO) daripada mahkamah atau Pegawai Kebajikan Masyarakat 5) Tinggalkan rumah kelamin dengan membawa dokumen penting seperti kad pengenalan, sijil nikah, sijil kelahiran anak-anak dan lain-lain 6) Dapatkan nasihat peguam syarie atau mahkamah syariah Kecederaan yang dialami selebriti, Zahnita Wilson seperti yang dikongsikannya di laman sosial. -Foto Instagram Zahnita Sementara itu menurut peguam yang dikenali sebagai Hafiz Roslan, bagi kes suami yang menjadi mangsa keganasan isteri pula, tindakan yang sama juga perlu dilakukan, di samping mereka boleh memfailkan penceraian atau memfailkan nusyuz. Dalam pada itu, mengulas persoalan sama ada seseorang wanita boleh didakwa atas tuduhan membelasah suaminya ketika bertindak mempertahankan diri sewaktu dipukul hingga si suami mengalami kecederaan, beliau menyarankan agar mangsa memberikan kerjasama penuh untuk memudahkan siasatan. "(Isteri) Beri kerjasama dalam keterangan ketika disoal siasat oleh pegawai penyiasat (IO). Boleh bawa peguam jika perlu," ujarnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube