suria

Peguam ajar cara isteri mohon cerai jika suami zina, foto aib dengan skandal mungkin 'tak laku' sebagai bukti mahkamah

Isteri yang ingin menuntut cerai disaran merujuk peguam syarie untuk mendapatkan nasihat. -Gambar hiasan

TIADA siapa yang mahukan ikatan perkahwinan mereka berakhir dengan perpisahan.

Dalam kebanyakan kes penceraian, antara punca utamanya adalah disebabkan isu curang.

Menerusi satu perkongsian di laman TikTok, seorang peguam berkongsi kisah di mana kliennya mahu memfailkan penceraian kerana mendakwa suaminya berlaku curang dengan pembantu peribadi sendiri sehingga terlanjur.

Peguam syarie yang dikenali sebagai Nurul Hanan Jasmin berkata, kliennya juga mendakwa mempunyai bukti bergambar yang menunjukkan suaminya melakukan perbuatan terkutuk tersebut.

Sudah tentu pembuktian itu penting apatah lagi dakwaan berkenaan bukan hanya melibatkan dosa tetapi maruah seseorang.

ARTIKEL BERKAITAN: Kajian dapati curang berlaku kerana faktor hormon, genetik... Lelaki 'suara dalam' cenderung main kayu tiga

Namun timbul persoalan, apakah bukti tersebut, sebagai contoh, gambar aib pasangan berkenaan sedang berdua-duaan di dalam bilik tanpa berpakaian lengkap, boleh digunakan oleh isteri sebagai senjata untuk menuduh suaminya berzina seterusnya menuntut cerai?

Perkara ini dikupas dengan tuntas oleh Nurul Hanan bagi menjawab persoalan yang timbul.

curang

Tuduhan zina perlu disertakan dengan bukti saksi, bukan sekadar gambar. -Gambar hiasan

Menurut Nurul Hanan, gambar sahaja tidak boleh dijadikan bukti untuk seseorang menuduh pasangannya berzina.

"Untuk menuduh suami berzina, seseorang isteri perlu mengemukakan empat orang saksi lelaki yang melihat perlakuan zina tersebut.

"Jika seseorang isteri itu tidak membawa saksi atas tuduhan tersebut, wanita itu boleh dikenakan hukuman qazaf," jelasnya.

Sebagai maklumat tambahan, qazaf bermaksud menuduh seseorang berzina tanpa mendatangkan empat saksi lelaki yang adil.

Justeru, bagaimana jika seseorang isteri tersebut tetap mahu bercerai dengan suaminya yang didakwa berlaku curang?

Bagi menjawab persoalan berkenaan, Nurul Hanan berkongsi panduan agar para isteri yang berdepan situasi sama dapat mengambil tindakan undang-undang yang betul iaitu:

1) Isteri boleh membuat permohonan fasakh atas alasan suaminya berkawan atau menjalinkan hubungan dengan wanita lain yang tidak berkelakuan baik mengikut hukum syarak.

2) Bawa gambar suami dengan pasangannya untuk dijadikan bukti dalam permohonan fasakh.

Kesimpulannya, seseorang isteri yang ingin menuntut cerai seelok-eloknya perlu merujuk peguam syarie untuk mendapatkan pandangan atau nasihat sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain