TERKANDAS dalam bidang akademik bukanlah bererti masa hadapan akan terus kecundang. Bagi Kalidevan Murugaya, apa yang penting adalah seseorang itu mengetahui minat dan berusaha keras untuk mencapai impiannya. Mengakui tidak suka membaca, pemuda berusia 32 tahun ini memilih pengajian kulinari selepas tamat sesi persekolahan tingkatan 5. “Lepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya fikir nak belajar apa yang saya minat tapi keluarga India kebiasaannya mahu anak-anak jadi doktor, jurutera atau peguam. “Ayah saya pula, bekas tentera dan dia nak saya masuk kerja kerajaan seperti tentera atau polis dan paling kurang adalah jurutera. Tangkap layar video memasak yang sering dikongsikannya di laman TikTok. “Syukur ada abang dan mak yang sokong, jadi dapat sambung bidang yang saya minat,” ujarnya. Tambahan pula, anak jati Jementah di Johor ini hanya mendapat keputusan yang memuaskan sahaja kerana tidak dapat memberi fokus pada pembelajaran. “Saya bersekolah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Jementah 2 dan merupakan satu-satunya pelajar India... saya tak boleh fokus. “Saya tak dapat skor keputusan baik dan selalu cukup makan, sekolah menengah pun sama. Saya pun tak minat membaca tapi lepas masuk kolej dalam bidang kulinari, saya dapat skor 4.0. “Malah dapat ijazah kelas pertama dan kolej bagi biasiswa untuk sambung belajar di Liverpool,” kongsinya yang meminati masakan sejak kecil kerana sering menghabiskan masa bersama neneknya. ARTIKEL BERKAITAN: Bisnes nasi lemak wanita cantik laku keras, pelari kacak pemurah derma wang kemenangan... Ini kisah inspirasi 2023! Dia yang mesra disapa Cef Dave berkata, selepas tamat pengajian, dia bekerja di Hotel Shangri-La selama kira-kira lapan tahun. Selepas itu dia menyertai pasukan cef kapal layar sehingga berpeluang menyusuri masakan serta hidangan Eropah dan Amerika Syarikat, sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia. Beralih kepada hidangan berasaskan sayuran semata-mata atau vegan pada 2019, Cef Dave mula menghasilkan menu berkaitan dengan mengetengahkan sajian masyarakat Malaysia. Rancangan lima tahun Semangat sebagai rakyat Malaysia yang tinggi membuatkan Cef Dave menjadikan kepelbagaian kaum dan budaya sebagai content TikTok miliknya. Pada masa sama dia turut mencipta makanan vegan berasaskan hidangan masyarakat Malaysia supaya mudah diikuti dan diadaptasi oleh sesiapa sahaja seperti makanan Barat, salad. Anugerah yang diterima Cef Dave sepanjang tempoh pembabitannya dalam dunia masakan. “Kalau makan vegan, kebanyakannya akan hasilkan makanan Barat seperti salad dan sebagainya. Saya mahu orang Malaysia yang vegan makan sajian tempatan. “Apabila pergi luar negara, kita tengok banyak makanan... semua hebat-hebat, tapi sejujur hati saya, ia tak sehebat masakan kita. “Sedihnya makanan kita tak dikenali seluruh dunia, ramai tak kenal pun nama Malaysia. Jadi biggest wish, saya nak bawa makanan kita ke seluruh dunia melalui program-program masakan,” azamnya. Beliau juga menyatakan keengganan untuk membuka restoran mahupun menjual produk dalam tempoh masa ini kerana mahu memberi fokus kepada impian tersebut. Terkini, dia telah diberi penghormatan gelaran Chef Vegan Terbaik Asia dengan Pengaruh Kreatif di Anugerah Asia (AA) 2023 di Trichy, Tamil Nadu, India, pada 3 Disember lalu. Cef Dave sering menghabiskan masa bersama rakan baiknya, Elvin Chai Wei Hoong. Kongsi dapur Mereka yang gemar memasak pastinya tidak suka berkongsi dapur dengan individu lain. Berbeza pandangan, Cef Dave tidak kisah mengenainya kerana sejak kecil sudah menggunakan dapur neneknya. “Saya membesar dengan budaya berkongsi dan kat hotel pun berkongsi dapur tetapi kena ada adab kat dapur, freak clean as you go. “Jangan tinggal dapur kotor dan selagi jaga adab macam tu saya tak ada masalah,” tegasnya. Bagaimanapun, pemuda ini tidak gemar berkongsi pisau sehinggakan sanggup menyembunyikannya daripada orang lain. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube