suria

Impian ‘nenek ping pong’ jadi kenyataan... ‘Hutang’ masuk Olimpik selesai selepas 38 tahun!

Zeng memberikan sepenuh tumpuan ketika menentang wakil Lubnan di Olimpik Paris. -Foto AFP

SUKAN Olimpik merupakan temasya yang paling dinantikan setiap atlet untuk membuktikan kebolehan dan kemampuan diri di mata dunia.

Peserta dari segenap benua akan bersiap siaga supaya dapat mempersembahkan prestasi yang terbaik dalam kejohanan ini.

Pastinya tidak disangka ramai apabila seorang wanita lanjut usia tampil yakin menyertai Sukan Olimpik Paris 2024 bagi acara ping pong mewakili Republik Chile.

Dikenali sebagai Zhiying Zeng, perjalanannya yang penuh liku sungguh menginspirasikan kerana berjaya bergelar peserta Olimpik tatkala usianya sudah senja iaitu 58 tahun.

Zeng dilahirkan di Guangzhou, China pada tahun 1966 ke dalam keluarga yang sangat fanatik dengan sukan ping pong.

Zeng digeruni lawan ketika zaman kemuncaknya. -Foto Getty

Ibu Zeng adalah seorang jurulatih ping pong dan melatih Zeng sejak kecil hingga dia berusia 9 tahun.

Mewarisi kehandalan keluarganya, Zeng pantas menguasai selok-belok sukan ping pong, malah muncul juara dalam beberapa kejohanan peringkat China sehingga dinobatkan jaguh belia kebangsaan.

Ketika umur Zeng mencecah 16 tahun, dia mengorak langkah untuk menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan China.

Zeng dilihat 'ganas' mendominasi arena ping pong dan prospeknya diramalkan cerah untuk terus memahat nama dalam kemasyhuran.

Namun karier Zeng yang baru sahaja hendak bermula terbantut apabila peraturan permainan digubal semula yang menyebabkan strategi Zeng dalam ping pong mudah dibaca lawan.

ARTIKEL BERKAITAN: Zii Jia tepati ramalan, layak ke pusingan 16 terbaik

Peraturan baharu tersebut diperkenalkan sebelum Sukan Olimpik edisi Seoul, Korea Selatan pada tahun 1988.

Zeng akhirnya memutuskan untuk bersara awal daripada sukan ping pong ketika usianya hanya 20 tahun, impiannya untuk bermain dalam temasya Olimpik terpaksa dilupakan.

"Ramai rakyat China yang memasang impian untuk mewakili negara, ia bukannya sesuatu yang mudah.

"Perubahan peraturan ping pong menjejaskan rentak saya secara drastik, kualiti permainan saya merudum. Sebab tu saya terpaksa keluar daripada pasukan kebangsaan," ujar Zeng dalam satu temu bual bersama portal berita antarabangsa.

Susulan hasratnya yang punah, Zeng berpindah ke utara Chile pada tahun 1989 selepas menerima undangan untuk melatih kanak-kanak di sana.

Saya akan teruskan bermain dan berusaha untuk kembali di Olimpik Los Angeles pada tahun 2028.

ZHIYING ZENG

Zeng atau senang disapa Tania oleh rakyat Chile terdetik untuk kembali bermain ping pong secara profesional ketika pandemik Covid-19 melanda dunia.

Ternyata taring Zeng masih berbisa apabila dia berjaya melayakkan diri ke Olimpik Paris pada tahun 2024, cita-citanya yang sekian lama terpadam kini kembali membara.

Ketika penampilan sulungnya dalam Olimpik Paris, Zeng membuka langkah kanan apabila berjaya menundukkan lawan dengan skor 11-4.

Sorakan nama Zeng yang bergema di serata gelanggang oleh penyokongnya boleh diibaratkan mimpi menjadi kenyataan.

Walaupun begitu, nasib tidak menyebelahi Zeng apabila pada pusingan seterusnya dia disingkirkan oleh wakil Lubnan, Mariana Sahakian dengan skor 4-11, 14-12, 11-5, 11-3, 11-8.

Zeng beraksi cemerlang ketika perlawanan pembukaan Olimpik Paris.

Kekalahan tersebut bagaimanapun diterima positif oleh Zeng yang menganggap impiannya untuk bermain di Sukan Olimpik berjaya dilunaskan.

"Saya berpuas hati dengan permainan saya hari ini. Saya yakin saya sudah memberikan yang terbaik ketika menentang lawan.

"Terima kasih juga kepada penyokong dari Amerika Selatan, Eropah dan China yang memberikan sokongan moral, saya sangat tersentuh hati.

"Sukan ping pong adalah sebahagian daripada nyawa, saya akan teruskan bermain dan berusaha untuk kembali di Olimpik Los Angeles pada tahun 2028," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain