suria

Atlet gimnastik ini kenyang seumur hidup! Kenali si comel Carlos Yulo, gondol 2 emas di Olimpik Paris kalahkan Israel

Yulo menjadi kebanggaan rakyat Filipina selepas dia meraih dua pingat emas di Olimpik Paris. Foto- Fig Gymnastics

SELURUH Filipina bagaikan bergema dengan laungan kegembiraan apabila gimnas negara itu, Carlos Yulo meraih pingat emas kedua di temasya Olimpik Paris 2024.

Sehari selepas meraih pingat emas pertamanya menerusi acara melombol, Yulo, 24, sekali lagi menuai kejayaan apabila dia menewaskan juara bertahan dan jaguh dari Israel, Artem Dolgopyat.

Menerusi acara senaman lantai di Bercy Arena pada Sabtu, Yulo meraih 15.000 mata selepas dia mempersembahkan rutinnya dengan sempurna, sekali gus mencatat sejarah baharu buat Filipina.

yulo2

Kejayaan luar biasa atlet berusia 24 tahun ini jadi perbualan seluruh dunia.

Hasil kejayaan berganda itu, Yulo bukan sahaja bakal menerima hadiah lumayan daripada kerajaan Filipina, malah banyak syarikat dan jenama mula memburunya.

Berikut merupakan trivia tentang Yulo serta hadiah-hadiah yang bakal diterimanya:

1. Yulo dilahirkan pada 16 Februari 2000 dan mula menunjukkan minat untuk menyertai gimnastik pada usia tujuh tahun.

2. Yulo berpindah ke Jepun pada usia 13 tahun untuk mempelajari gimnastik.

yulo3

Yulo bersama kekasih hati yang banyak memberi sokongan terhadap perjuangannya.

3. Meskipun sibuk dengan latihan, Yulo suka menghabiskan masa dengan bermain permainan video, malah dia juga meminati anime.

4. Yulo meraikan kemenangannya di Olimpik dengan teman wanita, Chloe Anjeleigh San Jose.

5. Yulo dijangka menerima hadiah wang tunai berjumlah 10 juta peso (kira-kira RM776,368) daripada kerajaan.

yulo5

Yulo meminati sukan gimnastik sejak kecil lagi.

6. Yulo juga bakal dianugerahkan Pingat Emas Keberanian Olimpik daripada Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC).

7. Menurut Jawatankuasa Olimpik Filipina (POC), pemenang pingat emas akan menerima sebuah rumah dan lot tanah.

8. Yulo akan menerima khidmat reka bentuk kejuruteraan percuma seumur hidup dari Nexa Engineering.

yulo4

Banyak syarikat dan jenama mahu menaja Yulo selepas kemenangannya di Olimpik Paris 2024.

9. Antara lain, Yulo akan mendapat kredit daripada Universiti Mindanao.

10. Syarikat hartanah gergasi, Megaworld Corp. menghadiahkan Yulo sebuah unit kondominium dua bilik tidur yang lengkap dengan perabot di Bonifacio Global City yang bernilai RM2,016,000.

11. Kumpulan SM pula menjanjikan Yulo produk bernilai RM84,000 dari SM Retail, termasuk gedung serbaneka dan pasar raya, yang boleh digunakan dalam masa satu tahun.

12. Rangkaian restoran bufet popular, Vikings, berjanji untuk memberikan bufet percuma seumur hidup buat Yulo.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain