SELEPAS Olimpik Paris 2024 melabuhkan tirainya, tumpuan kini beralih kepada temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang sedang berlangsung di Sarawak. Antara figura yang mencuri tumpuan pada penganjuran Sukma kali ini ialah penerjun berusia 18 tahun dari Sarawak, Elvis Priestley Anak Clement. Penerjun itu melakar kejayaan cemerlang apabila meraih pingat emas menerusi acara terjun tiga meter (m) papan anjal lelaki selepas menewaskan dua pencabar terdekat dari Wilayah Persekutuan. Dia turut memenangi pingat emas kedua di Sukma Sarawak menerusi acara terjun seirama 10m bersama Enrique Maccartney Harold. Elvis meraih pingat emas menerusi acara terjun tiga meter papan anjal lelaki. -Foto Bernama Video terjunan solo Elvis turut tular sehingga dia disamakan dengan penerjun-penerjun handalan dari China dan dia dijangka memberi saingan sengit buat mereka di Olimpik Los Angeles (LA) 2028 nanti. Paling mencuri tumpuan, percikan yang terhasil ketika terjunan Elvis sangat minimum sehingga ia disamakan seperti jarum yang jatuh ke dalam air. Berikut kami kongsikan 11 trivia tentang Elvis: 1. Penerjun Sarawak ini dilahirkan pada 11 Oktober 2006. 2. Nama penerjun ini mencuri perhatian ramai apabila ia hampir sama dengan nama penyanyi legenda Amerika Syarikat (AS), mendiang Elvis Presley. 3. Elvis meraih emas menerusi terjunan yang dibuat di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Kuching, yang dinamakan sempena nama ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong. Elvis memasang impian untuk beraksi di Olimpik Los Angeles 2028. -Foto Bernama 4. Mendapat tidur yang cukup menjadi rutin harian Elvis untuk memastikan dia kekal tenang dan fokus ketika bertanding. 5. Elvis memasang impian untuk meraih kedudukan podium di Kejohanan Dunia Remaja Rio de Janeiro yang akan berlangsung pada November hingga Disember tahun ini. 6. Elvis juga mahu mengikut jejak langkah rakannya, Bertrand Rhodict yang bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024 dan berhasat melayakkan diri ke Olimpik LA 2028. Aksi terjunan Elvis meraih pujian pengguna media sosial. 7. Jika layak ke Olimpik LA2028, Elvis pada ketika itu akan berumur 22 tahun. 8. Elvis merupakan pelapis kebangsaan sejak tahun 2019, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. 9. Elvis berada di bawah seliaan Majlis Sukan Negara sejak lima tahun lalu. 10. Penerjun ini dilatih di Bukit Jalil oleh jurulatih kebangsaan Luh Jia Ning dari China. 11. Elvis juga dijangka akan menyertai Sukan SEA 2025 yang akan berlangsung di Thailand. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube