suria

Pernah ditentang keluarga, Irfan kini ‘penjinak’ ombak Cherating... Rupanya mula meluncur sejak usia 12 tahun!

Irfan mula meluncur ombak ketika berusia 12 tahun.

MUNGKIN masih ramai yang belum sedar sukan luncur ombak kini semakin popular di Malaysia.

Suatu masa lalu, ia dianggap sebagai sukan yang asing dan kita hanya dapat menontonnya di televisyen sahaja.

Namun hari ini, aktiviti itu mula dipertandingkan di Malaysia, malah peluncur-peluncur tempatan juga mula membina nama di luar negara.

irfan 4

Anak jati Cherating ini mahu melihat luncur ombak menjadi satu sukan popular di Malaysia.

Dalam menyemarakkan lagi populariti sukan itu di Malaysia, anak-anak muda di Cherating, Pahang, banyak berkongsi tentang aktiviti luncur ombak di media sosial.

Salah seorang daripada mereka adalah Wan Muhamad Irfan Wan Zulkefli, 22, yang mula bergiat aktif dalam sukan luncur ombak sejak 10 tahun lalu.

Meluncur sejak kecil

Mesra disapa Irfan, dia mendedahkan minatnya terhadap aktiviti luncur ombak tercetus daripada pengaruh sekeliling kerana dibesarkan di Cherating.

"Saya mula meluncur ketika berumur 12 tahun. Sejak bermula, saya tak pernah berhenti meluncur sehingga ke hari ini.

irfan 2

Irfan memasang impian untuk meluncur ombak di luar negara suatu hari nanti.

"Ramai yang meluncur di kampung saya di Cherating. Dari kecil saya tengok orang lain termasuk bapa saudara meluncur. Daripada situ timbul minat.

"Selain belajar dengan bapa suadara, saya juga belajar meluncur dengan kawan-kawan di sini," ujar Irfan kepada mStar.

Suka duka bergelar peluncur ombak

Mengimbas detik permulaannya dalam sukan itu, Irfan berkata dia turut mendapat tentangan keluarga kerana faktor keselamatan.

"Pada awal-awal penglibatan, minat saya mendapat tentangan keluarga. Mereka larang saya meluncur ombak, selalu kena marah. Lagi pun saya masih bersekolah. Tapi apabila dah meningkat umur 15 tahun, keluarga dah okey.

irfan 3

Pada peringkat awal, minat Irfan turut mendapat tentangan keluarganya.

"Ada banyak juga kejadian, saya pernah cedera kena board sendiri, kena batu dalam air. Pernah juga saya hampir lemas masa zaman sekolah dulu.

"Tapi dalam surfing ini kita kena pandai berenang, kena minat pantai, kena pandai baca cuaca juga. Yang penting jangan panik kalau kita nak lemas. Panik ni yang akan tenggelamkan kita," ceritanya lagi.

Pencapaian dan impian

Menurut Irfan, aktiviti meluncur ombak biasanya meriah sepanjang musim monsun yang biasanya bermula pada Oktober dan berlanjutan hingga Februri tahun berikutnya.

Irfan juga pernah menyertai beberapa pertandingan di arena tempatan dan mendedahkan dia kini tersenarai di tangga ketujuh dalam kedudukan peluncur ombak di Malaysia.

"Sekarang dah ada ranking untuk surfing di Malaysia, ada national ranking yang mana kita akan bertanding dekat negeri yang ada ombak seperti di Cherating, Pahang, Terengganu, Johor dan Sabah.

luncur

Antara video luncur ombak yang dikongsi Irfan menerusi TikTok.

"Alhamdulillah saya pernah dapat nombor tiga dalam satu kejohanan di Terengganu beberapa tahun lepas. Sekarang saya ranking nombor tujuh untuk Malaysia.

"Saya juga memasang impian untuk meluncur di luar negara seperti Indonesia dan Jerman suatu hari nanti," ujar anak sulung daripada tiga beradik itu.

Bercerita mengenai perkongsiannya di media sosial, Irfan berkata dia berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan membuka mata terhadap sukan luncur ombak.

"Sejak dulu surfing ni memang tak famous dekat Malaysia. Tapi sekarang orang dah mula kenal, ada yang nak mula belajar.

"Saya berkongsi video dan gambar berkaitan surfing di media sosial sebab nak bagi pendedahan bahawa dekat Malaysia ada surfing. Sebab masih ada yang tahu boleh surfing di Malaysia.

"Ramai juga yang hubungi saya di TikTok dan Instagram, ada yang datang ke Cherating untuk belajar meluncur ombak dengan kami. Kami di sini ada buka kelas, saya turut terlibat sebagai coach," ceritanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain