SIAPA sangka di sebalik kemasyhuran jenama McDonald's Malaysia, rupa-rupanya ia diterajui oleh seorang anak tempatan yang berlatar belakang keluarga sederhana. Dilahirkan sebagai seorang anak peneroka Felda, Datuk Azmir Jaafar membuktikan bahawa kepayahan hidup bukan penghalang untuk berjaya dalam kehidupan. Melakar nama dalam bidang perniagaan di negara ini bukan perkara mudah sebelum Azmir menjadi Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia sejak 2017. Beliau kini merupakan pemilik tempatan McDonald’s Malaysia sejak diambil alih sekali gus menjadikan restoran kegemaran ramai itu sebagai sebuah syarikat 100 peratus milik orang Islam. "Saya jadikan setiap peristiwa hidup sebagai azimat kehidupan yang membentuk keperibadian, serta membangunkan McDonald’s Malaysia sebagai satu restoran yang diminati ramai. "Mungkin ramai yang tidak tahu McDonald’s Malaysia hanya menawarkan pekerjaan kepada rakyat Malaysia, di mana 100 peratus pekerja mereka adalah orang Malaysia dan 90 peratus daripadanya adalah orang Islam," katanya. Pendidikan jalan kejayaan Bagi anak kelahiran Felda Pasir Besar, Negeri Sembilan ini, jasa ibu dan bapa beliau amat besar dan bermakna jika ingin dibandingkan dengan apa yang dikecapinya pada hari ini. Menurut Azmir, beliau tidak dilahirkan dalam keluarga yang senang sejak kecil, namun kesusahan yang dilalui tidak mematahkan semangat beliau untuk mengejar impian dan mengubah nasib keluarga. Mengenang kehidupan yang dilalui, Azmir kagum dengan kesungguhan bapanya, Jaafar Ahmad yang membanting tulang untuk memastikan dia dan adik-beradiknya mendapat pendidikan yang terbaik. "Walaupun bekerja sebagai peneroka Felda, namun ayah sentiasa menekankan soal pendidikan supaya anak-anak boleh mendapatkan pekerjaan yang baik apabila dewasa nanti. "Ternyata pengorbanan ayah membuahkan hasil kerana semua anak-anaknya berjaya dalam kerjaya dan kehidupan, termasuk saya sendiri," ujarnya. Dengan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Rendah Pendidikan (SRP), ia melayakkan dirinya untuk menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar di Kuala Pilah. Tidak cukup sekadar itu, kecemerlangannya diteruskan lagi sehingga ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di University of Georgia, Amerika Syarikat dalam Ijazah Sarjana Muda Pengajian Pemakanan (Diet Klinikal) pada 1988. Dia kemudiannya meneruskan pengajian di peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di University of Bath, United Kingdom pada 1992. “Kalau bukan disebabkan ayah yang sangat tegas apabila cakap bab belajar, saya tidak akan sampai ke tahap ini. Berkat pengorbanan dia yang menjadikan saya berjaya pada hari ini. Sebagai syarikat milik tempatan, Azmir memastikan restoran McDonald’s Malaysia bukan sahaja menyajikan hidangan istimewa tetapi juga berbakti kepada komuniti. Dari restoran ke pengarah urusan Selepas menamatkan pengajian di Eropah, anak jati Negeri Sembilan ini kembali ke tanah air untuk memulakan karier bersama McDonald’s Malaysia pada 1993 sebagai pengurus pelatih. Kewibawaan Azmir menunjukkan satu prestasi kerjaya cemerlang ketika menjawat beberapa posisi sehingga sehingga dia diberikan peluang untuk menjadi Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia pada 2006 hingga 2009. Kepimpinan Azmir yang merupakan pengarah urusan termuda syarikat menyaksikan pertumbuhan pesat restoran McDonald’s dan peningkatan jualan yang berganda di negara ini. Kejayaan tersebut dibuktikan apabila Azmir kemudian dilantik sebagai Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pembangunan McDonald’s, mengembangkan pasaran ke China dan Timur Tengah. "Saya membuka lebih 1,100 restoran di China dalam lima tahun dan menerajui 17 pasaran di Timur Tengah bersama pemilik tempatan di sana. "Pengalaman antarabangsa yang diperolehi ini saya gunakan untuk memajukan McDonald’s Malaysia, mengembangkan lebih 370 restoran di seluruh negara selepas kembali memimpin syarikat sebagai pengarah urusan,” katanya. Di bawah kepimpinan beliau, McDonald’s Malaysia memperkenalkan pelbagai inovasi baharu dalam operasi restoran, sehingga nama ‘Mekdi’ menjadi popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Selain diberikan peluang melanjutkan pelajaran, pertumbuhan restoran-restoran McDonald’s di Malaysia juga adalah harapan Azmir untuk sosioekonomi dan kesejahteraan masyarakat tempatan. Teladan hidup jadi pendirian Menurut Azmir, kesusahan yang dilaluinya sejak kecil membentuk siapa ‘Datuk Azmir Jaafar’ dan syarikatnya, McDonald’s Malaysia pada hari ini. Ini membuatkan Azmir yang dibesarkan di pedalaman Felda memahami apa yang dilalui oleh pekerjanya dan peduli kepada kebajikan serta kesejahteraan komuniti tersebut. "Apabila pekerja ditimpa musibah, saya akan memastikan mereka mendapat bantuan yang mencukupi. "Sebagai syarikat milik tempatan, saya memastikan restoran ini bukan sahaja menyajikan hidangan istimewa tetapi juga berbakti kepada komuniti. Saya menekankan kepentingan menjadi 'jiran prihatin' di setiap lokasi operasi mereka," katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube