suria

Tiada lagi WFH, majikan minta kembali bekerja di pejabat... persiapakan diri dengan 6 perkara ini

Kembali memulakan tugas di pejabat selepas tiga bulan bekerja dari rumah boleh menjadi perkara sukar.

KETIKA ini pasti ramai daripada kita sudah mula atau bakal kembali memulakan tugas di pejabat selepas hampir tiga bulan bekerja dari rumah atau work from home (WFH).

Meskipun pada awalnya sukar, namun kita pasti sudah terbiasa dan selesa dengan rutin bekerja dari rumah yang lebih fleksibel dan mula berasa 'lemah' apabila perlu ke pejabat.

Bagi mempersiapkan diri dengan rutin bekerja 9-5, pakar psikologi Hope Bastine menjelaskan ada beberapa perkara boleh kita lakukan bagi menyesuaikan diri apabila perlu kembali mengikut jadual biasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Apa harus anda lakukan jika bakal hadiri temuduga secara sidang video? Ikuti 7 tip ini

Jelas Hope, perkara ini juga tiada beza dengan saat kita mengubah rutin aktiviti harian apabila perlu bekerja dari rumah ketika pandemik Covid-19 melanda.

"Apabila kita merasakan kehidupan kita sudah berbeza, adalah perkara biasa untuk rasa sukar kembali kepada rutin asal. Tapi itu bukan bererti kita tak boleh melakukannya," kata Hope seperti dilaporkan Metro.co.uk.

Ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian kata Hope sebelum kembali memulakan tugas di pejabat termasuklah;

1. Ubah pola pemikiran

Kita harus cuba mengubah pola pemikiran dari rasa takut kembali bekerja di luar kepada rasa gembira untuk menghadapi masa depan.

Kata Hope, cuba berfikiran positif dan berfikir tentang perkara-perkara baik seperti keseronokan bekerja di pejabat, dapat bertemu rakan-rakan dan sebagainya.

"Tetapkan matlamat bagi membolehkan kita fokus apabila kembali bekerja. Dengan itu, fikiran kita tidak akan terpesong ke arah perkara negatif termasuk kerisauan dijangkiti Covid-19," katanya.

2. Jadual tidur

Kebanyakan daripada kita lebih cenderung tidur lebih lewat sepanjang bekerja dari rumah. Kini tiba masanya, kita mengubah tabiat itu kepada rutin biasa.

Ini bagi mengelakkan rasa lesu ketika berada di pejabat memandangkan kita perlu bangun lebih awal untuk bersiap dan ke pejabat.

3. Membakar 'tekanan'

Jika anda seorang yang aktif pada waktu pagi, cubalah mulakan hari anda dengan senaman ringkas. Ini dapat menurunkan hormon kortisol (tekanan) dan boleh membantu meningkatkan prestasi di tempat kerja.

4. Jangan abaikan waktu riadah

Kembali bekerja di pejabat bukan bererti semua aktiviti lain sudah terhenti, sebaliknya tetap jadikan rutin keluar bersama rakan atau makan malam di luar sebagai rutin. Hope memberitahu ia penting bagi membolehkan otak berada dalam keadaan seimbang terutamanya apabila anda mengalami tekanan di pejabat.

"Jika kamu berasa fikiran sedang buntu dengan masalah kerja dan ingin menenangkan diri, keluar berhibur atau makan malam bersama rakan kerana ia cukup membantu dalam tempoh perubahan ini," katanya.

5. Dahulukan tugas mudah

Buat permulaan ini, cuba mulakan tugas di pejabat dengan perkara-perkara mudah dan tidak membebankan bagi membiasakan diri dengan persekitaran yang sudah lama ditinggalkan seperti mengirim emel, menyusun fail atau membuat jadual tugas perlu diselesaikan.

Cuba tetapkan masa seperti satu jam tanpa gangguan bagi membolehkan anda menyiapkan tugasan penting dan apabila tempoh itu berakhir ambil 15 minit untuk berehat.

Waktu rehat singkat itu penting bagi membolehkan kita menyegarkan badan dan fikiran selain mengelak daripada mengalami tekanan.

6. Terima situasi 'New Normal'

Terima dengan hati terbuka bahawa keadaan sekarang sudah tidak seperti dahulu. Realitinya, kita tidak akan tahu apa akan terjadi pada masa akan datang dan kena mula menerapkan new normal dalam kehidupan seharian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain